Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Malaysia Kekal Ungguli Ekonomi Islam Terkuat Dunia 2025 Selama 11 Tahun Berturut-Turut

malaysia kekal ungguli ekonomi islam terkuat dunia 2025 selama 11 tahun berturut-turutFoto sekadar hiasan

Malaysia sekali lagi mengukuhkan kedudukannya di pentas global apabila dinobatkan sebagai negara Islam dengan ekonomi terkuat bagi tahun 2025. Pengiktirafan itu diumumkan menerusi laporan Seasia Stats yang mengambil rujukan daripada data rasmi Dinar Standard, sebuah firma antarabangsa yang menumpukan kajian terhadap ekonomi Islam global.

Advertisement

Menurut laporan tersebut, Malaysia mengekalkan kedudukan teratas dalam senarai selama 11 tahun berturut-turut dengan pencapaian skor indeks yang mengagumkan iaitu 165.1. Skor itu meletakkan Malaysia jauh meninggalkan pesaing rapatnya, Arab Saudi yang berada di tempat kedua dengan skor 100.9, serta Indonesia di kedudukan ketiga dengan skor 99.9.

Emiriah Arab Bersatu pula mencatatkan skor 95.8 di tempat keempat, manakala Bahrain melengkapkan kedudukan lima teratas dengan skor 81.9.

Senarai 10 negara Islam dengan ekonomi terkuat dunia turut menyaksikan Jordan di tempat keenam dengan skor 71.4, diikuti Kuwait (67), Pakistan (64.1), Turkiye (64) dan Qatar (60.4).

malaysia kekal ungguli ekonomi islam terkuat dunia 2025 selama 11 tahun berturut-turutFoto: Sea Stats

Menurut Seasia Stats, kedudukan indeks ini bukan sekadar mencerminkan kekuatan ekonomi sesebuah negara dari segi kewangan, tetapi turut mengambil kira prestasi dalam pelbagai sektor yang berteraskan ekonomi Islam. Antara sektor utama yang diukur termasuk kewangan Islam, industri makanan halal, fesyen patuh syariah, pelancongan mesra Muslim, serta bidang-bidang lain yang berkait rapat dengan pasaran pengguna Muslim di seluruh dunia.

“Dengan pencapaian ini, Malaysia bukan sahaja mengekalkan statusnya sebagai peneraju ekonomi Islam global, malah terus menjadi penanda aras kepada negara-negara lain yang berhasrat membangunkan sektor halal serta industri berasaskan syariah,” menurut kenyataan Seasia Stats.

Kejayaan ini sekaligus menegaskan kekuatan Malaysia sebagai hab halal dunia serta memperkukuh reputasinya dalam memimpin pembangunan ekonomi Islam di peringkat antarabangsa.

Sumber: Dinar Standard, Sea Stats

ERA Muzik Hit Terkini