Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Manon Umum ‘Hiatus’ Sementara, Desas-Desus Bakal Tinggalkan KATSEYE Bakal Terjadi?

manon umum ‘hiatus’ sementara, desas-desus bakal tinggalkan katseye bakal terjadi?Foto: Instagram

Ahli kumpulan KATSEYE, Manon Bannerman mengumumkan dia bakal berehat buat sementara waktu bagi memberi tumpuan kepada kesihatan dan kesejahteraan diri, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi daripada peminat termasuk desas-desus bahawa ini mungkin petanda dia akan meninggalkan kumpulan itu secara kekal.

Advertisement

Penyanyi berusia 23 tahun dari Switzerland itu berkata keadaan kesihatannya kini stabil dan dia sedang memberi perhatian penuh kepada pemulihan.

Dalam catatan di platform WeVerse, Manon menulis bahawa dia ‘sedang menjaga diri’ dan percaya setiap yang terjadi mempunyai alasan tersendiri.

“Terima kasih kerana berdiri di sisi saya. Saya sayang kamu semua dan tak sabar untuk berjumpa lagi,” tulisnya kepada peminat.

Keputusan Manon mengambil cuti sementara itu dibuat selepas perbincangan terbuka dan matang bersama anggota lain serta pihak pengurusan, menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh label mereka, HYBE dan Geffen Records.

“Kami menyokong sepenuhnya keputusan ini. Katseye tetap komited untuk saling menyokong dan menghargai peminat yang memberi segala-galanya kepada kami,” kata kenyataan itu.

Walaupun pemergian sementara Manon diumumkan sebagai langkah untuk menjaga kesihatan, terdapat juga gossip dalam kalangan netizen yang mendakwa ini mungkin bukan sekadar cuti tetapi petanda bahawa dia bakal meninggalkan kumpulan itu secara kekal.

Sebahagian peminat membincangkan spekulasi ini di media sosial, ada yang risau tentang masa depan KATSEYE tanpa Manon, sementara yang lain berharap perkara itu tidak benar.

KATSEYE, yang turut dianggotai oleh Daniela Avanzini, Lara Raj, Megan Skiendiel, Sophia Laforteza dan Yoonchae Jeung, mengesahkan mereka akan terus meneruskan persembahan dan aktiviti yang telah dijadualkan sepanjang ketiadaan Manon.

Namun begitu, sehingga kini tiada tempoh rasmi diberikan mengenai bila Manon bakal kembali.

Pengumuman ini dibuat beberapa minggu selepas kumpulan itu membuat persembahan di Grammy Awards di Los Angeles dan menerima pencalonan bagi Artis Baharu Terbaik serta Persembahan Duo atau Kumpulan Pop Terbaik menerusi lagu Gabriela.

KATSEYE pertama kali dibentuk melalui rancangan realiti The Debut: Dream Academy pada 2023. Sejak debut mereka pada Jun 2024 dengan lagu Debut, kumpulan ini telah melancarkan dua EP iaitu SIS (Soft is Strong) dan Beautiful Chaos, selain beberapa single lain yang meraih perhatian ramai.

Sebelum ini kumpulan berkenaan turut mendedahkan bahawa mereka menghadapi tekanan besar daripada sorotan dalam talian selepas melangkah ke pentas dunia, termasuk menerima ribuan ugutan bunuh.

Anggota lain seperti Lara Raj pernah berkongsi pengalaman itu sebagai sesuatu yang ‘sangat mengganggu minda,’ dan Manon sendiri menyifatkan pengalaman itu memberi kesan mendalam terhadap kesejahteraan mentalnya.

Spekulasi tentang masa depan Manon bersama KATSEYE terus hangat diperkatakan dalam kalangan peminat, yang berharap agar segala gosip yang timbul hanyalah khabar angin dan bukan realiti. Mereka menantikan masa apabila Manon kembali berdiri bersama ahli lain di pentas global.

Sumber: BBC

ERA Muzik Hit Terkini