Foto sekadar hiasan
Seorang pelajar wanita sebuah kolej swasta ditemukan mati dalam keadaan mencurigakan di kediaman keluarganya di USJ 2/1, Subang Jaya, Khamis lalu. Mangsa yang berusia lingkungan 20-an itu disyaki menjadi mangsa pembunuhan selepas hasil bedah siasat mendapati puncanya adalah akibat dicekik.
Advertisement
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada bapa mangsa pada jam 11.55 pagi selepas lelaki berkenaan menemukan anak perempuannya tergantung pada kipas siling di ruang tamu tingkat dua rumah tersebut.
“Hasil pemeriksaan awal di lokasi mendapati mangsa telah meninggal dunia. Bedah siasat yang dijalankan oleh pakar patologi Hospital Serdang mengesahkan kematian berpunca daripada pendarahan di bahagian sekitar tulang hyoid atau tulang leher.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati terdapat kecederaan pada otot dan tulang yang konsisten dengan kesan manual strangulation atau cekikan menggunakan tangan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Wan Azlan, ketika kejadian mangsa berada seorang diri di rumah kerana kakak serta sepupunya tiada di kediaman tersebut. Rumah berkenaan adalah milik keluarga dan siasatan mendapati tiada sebarang barangan berharga yang hilang.
Sehingga kini, katanya, tiada sebarang tangkapan dilakukan dan siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Zainol Aazizi Abu Bakar di 013-3227632,” jelasnya.
Kes ini kini menjadi perhatian kerana melibatkan kematian seorang penuntut kolej di kediaman keluarga sendiri, dan pihak polis memberi jaminan akan meneruskan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab.
Sumber: Bernama