Skip to main content

Advertisement

Hiburan

MCMC Pertimbangkan Tindakan Undang-Undang Terhadap X, Sekat Sementara Grok Kerana Kandungan Tidak Wajar

mcmc pertimbangkan tindakan undang-undang terhadap x, sekat sementara grok kerana kandungan tidak wajarFoto: Bernama

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menilai kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap platform X selepas aplikasi kecerdasan buatan (AI) miliknya, Grok, didapati tidak mematuhi undang-undang keselamatan dalam talian di negara ini.

Advertisement

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menjelaskan langkah itu timbul selepas maklum balas daripada pihak X dianggap tidak memadai dan sekadar formaliti.

"MCMC telah menghubungi pihak X minggu lalu bagi mendapatkan penjelasan mengenai Grok, yang boleh menghasilkan kandungan tidak senonoh, termasuk melibatkan kanak-kanak dan wanita, jelas melanggar undang-undang negara.

Maklum balas yang diterima sangat tidak mencukupi. Jadi, selepas menerima laporan MCMC, saya mengarahkan sekatan sementara terhadap Grok dan tindakan undang-undang turut dipertimbangkan," jelas beliau.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Selangor dan Kuala Lumpur di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Fahmi menegaskan bahawa sekatan itu hanya melibatkan aplikasi Grok, bukan keseluruhan platform X, kerana aplikasi tersebut tidak mempunyai langkah keselamatan yang mencukupi untuk mengawal kandungan AI.

Tempoh sekatan akan bergantung kepada sejauh mana pihak X mematuhi undang-undang Malaysia.

"Isu ini melibatkan pelanggaran Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Keselamatan Dalam Talian. Selagi kandungan yang menyalahi undang-undang boleh dihasilkan, tindakan boleh diambil terhadap platform berkenaan. Berapa lama Grok akan disekat bergantung kepada pematuhan mereka," katanya.

Beliau menambah Malaysia bukan satu-satunya negara yang mengambil tindakan terhadap Grok, kerana beberapa negara lain, termasuk Indonesia, telah menyekat aplikasi itu, sementara United Kingdom sedang menilai isu yang sama.

"Situasi ini menunjukkan kebimbangan global terhadap kegagalan Grok menyediakan langkah keselamatan yang mencukupi dalam penggunaan AI," kata Fahmi.

Selain itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian (JKDT) yang baru dibentuk, dipengerusikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim.

"Kita mahu memastikan internet di Malaysia lebih selamat, terutamanya untuk kanak-kanak dan keluarga. Undang-undang sedia ada sebenarnya mencukupi, yang penting adalah penguatkuasaan dan pematuhan," katanya.

Sebelum ini, Fahmi menyatakan kementerian mensasarkan kerjasama semua platform media sosial menjelang pertengahan tahun ini untuk mengehadkan penggunaan media sosial kepada individu berumur 16 tahun ke atas.

Sumber: Astro AWANI

ERA Muzik Hit Terkini