Foto: Variety
Nama Tan Sri Michelle Yeoh sekali lagi mengukuhkan kedudukannya di pentas perfileman dunia apabila aktres tersohor itu bakal tampil dalam filem pendek terbaharu berjudul Sandiwara, hasil arahan pengarah Hollywood, Sean Baker.
Advertisement
Keseluruhan penggambaran filem ini dijalankan di Pulau Pinang dengan memanfaatkan suasana pasar malam dan kawasan penjaja sebagai latar utama, sekali gus memaparkan denyut kehidupan masyarakat tempatan dalam bentuk visual yang bersahaja dan dekat dengan realiti.
Menurut laporan industri, Sandiwara dijadualkan membuat tayangan sulung peringkat antarabangsa di Festival Filem Antarabangsa Berlin pada 13 Februari. Kolaborasi ini dilihat sebagai pertemuan kreatif dua figura besar yang membawa pendekatan berbeza namun saling melengkapi.
Dalam karya tersebut, anak kelahiran Ipoh, Perak itu menggalas cabaran besar apabila melakonkan lima watak berbeza, masing masing mencerminkan lapisan cerita dan sisi budaya tempatan yang jarang diketengahkan di layar global.
Pemilihan judul Sandiwara, yang berasal daripada istilah Melayu bermaksud drama atau pementasan, turut mencerminkan struktur penceritaan berlapis yang menjadi teras filem berkenaan.
Filem ini diterbitkan menerusi program Self Portrait Residency, satu inisiatif kreatif oleh jenama fesyen berpangkalan di London yang memberi kebebasan kepada penggiat seni menghasilkan karya tanpa batasan konvensional.
Melalui projek ini, Baker kembali kepada gaya pembikinan filem awalnya dengan menggunakan teknik penggambaran sepenuhnya menerusi iPhone, pendekatan yang pernah mencuri perhatian dunia perfileman menerusi karya terdahulu.
Pihak penganjur Berlinale menyifatkan Sandiwara sebagai sebuah karya yang menekankan penceritaan sinematik yang tulen, bukan sekadar visual bergaya, malah berani menyelami identiti budaya tempatan secara jujur dan mendalam.
Tayangan khas filem ini di Berlin turut disusuli sesi perbincangan secara langsung bersama Baker dan Yeoh, sekali gus memberi peluang kepada penonton memahami proses kreatif serta visi di sebalik pembikinan naskhah tersebut. Durasi rasmi filem dianggarkan sekitar 30 minit dan akan dimuktamadkan selepas tayangan perdana.
Kemunculan Yeoh di Berlinale kali ini turut mencipta detik penting dalam kerjayanya apabila beliau dijadual menerima Anugerah Golden Bear Kehormat bagi Pencapaian Sepanjang Hayat pada majlis pembukaan festival, 12 Februari.
Sekadar info, Festival Filem Antarabangsa Berlin 2026 berlangsung dari 12 hingga 22 Februari dan menghimpunkan pelbagai karya antarabangsa merentasi pelbagai genre, sekali gus mengekalkan reputasinya sebagai antara festival perfileman paling berprestij dunia.
Sumber: Variety