Foto: Instagram
Pelakon pemenang Anugerah Oscar, Michelle Yeoh disahkan bakal tampil dalam dua sekuel akan datang francais Avatar iaitu Avatar 4 dan Avatar 5, seperti yang disahkan oleh pengarah tersohor, James Cameron.
Advertisement
Namun begitu, pembabitan pelakon kelahiran Malaysia itu masih bergantung kepada keputusan pihak studio memandangkan kedua-dua naskhah berkenaan belum menerima lampu hijau susulan kos penerbitan yang tinggi serta keadaan industri perfileman global yang kini berdepan pelbagai cabaran.
Menurut Cameron, Michelle Yeoh akan menggalas watak Na’vi baharu dikenali sebagai Palakpuelat, yang dijangka memainkan peranan penting dalam perkembangan jalan cerita francais berkenaan.
Beliau turut mendedahkan bahawa beberapa babak untuk Avatar 4 telah dirakam lebih awal sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang produksi, bagi memastikan kelancaran jadual penggambaran dan logistik yang kompleks.
Michelle Yeoh sebelum ini diumumkan menyertai dunia Avatar pada tahun 2019, namun peminat tidak berpeluang melihat kemunculannya dalam Avatar 3, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai peranannya dalam francais itu.
Difahamkan, pelakon tersebut telah menjalani penggambaran selama beberapa minggu dan meluahkan rasa teruja kerana berpeluang bekerjasama semula dengan James Cameron, selain menyifatkan pengalaman berada dalam dunia Avatar sebagai sesuatu yang mencabar dan mengujakan.
Sekiranya produksi diteruskan seperti dirancang, Avatar 4 dijangka menemui penonton pada Disember 2029, manakala Avatar 5 pula dijadualkan ditayangkan pada Disember 2031.
James Cameron turut menjelaskan bahawa sekiranya projek tersebut terpaksa dihentikan atas faktor tertentu, beliau bersedia untuk berkongsi jalan cerita yang telah dirancang sebagai tanda penghargaan kepada peminat setia francais Avatar yang terus memberikan sokongan sejak filem pertama ditayangkan.
Sumber: Astro AWANI