Foto: Instagram
Penyanyi, Mimifly tampil memberi reaksi terhadap satu hantaran pengguna di Threads yang meluahkan rasa letih kerana sering mendahulukan orang lain berbanding diri sendiri.
Advertisement
Menerusi balasan tersebut, Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham mengakui isu itu sangat dekat dengan individu yang sejak kecil sudah terbiasa berkorban demi orang sekeliling.
Katanya, golongan seperti ini perlu memberi perhatian lebih terhadap kehendak diri sendiri kerana mereka jarang bertanya apa yang sebenarnya diinginkan dalam hidup.
“Faham. Untuk orang macam kita yang selalu kena berkorban dari zaman kanak-kanak, kita memang kena ekstra fokus pada apa yang kita nak,” tulis Mimi.
Menurut penyanyi lagu Angkat itu, langkah awal yang boleh dilakukan ialah menyenaraikan keinginan diri walaupun ia bukan sesuatu yang mudah kerana tidak semua orang biasa bertanya kepada diri sendiri tentang perkara tersebut.
“First kena list down, apa yang aku nak. Susah sebenarnya nak buat list ni sebab tak biasa tanya diri sendiri,” katanya lagi.
Mimi turut mencadangkan agar memilih satu keinginan daripada senarai tersebut dan berusaha merealisasikannya sehingga berjaya sebelum mengulangi proses sama untuk perkara lain.
“Pilih satu dan kerjakan sampai dapat. Lepas tu ulang semula. Moga bermanfaat,” ujarnya.
Perkongsian itu nyata mendapat perhatian ramai kerana dianggap mewakili perasaan individu yang sering mengabaikan keperluan diri sendiri demi menjaga orang lain.
Sumber: Threads