Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Musuh Sebenar Penyebab Kanser Yang Ramai Terlepas Pandang

musuh sebenar penyebab kanser yang ramai terlepas pandangFoto sekadar hiasan

Apabila membincangkan tentang kanser, tiada sesiapa yang mahu berdepan dengan penyakit yang sering digelar sebagai ‘pembunuh senyap’ ini.

Advertisement

Kanser merupakan penyakit yang boleh bermula di hampir mana-mana bahagian organ atau tisu dalam tubuh manusia, apabila sel-sel tidak normal membiak tanpa kawalan dan berpotensi merebak ke bahagian badan yang lain.

Terdapat pelbagai jenis kanser serta tahap keparahan yang boleh membawa kepada komplikasi serius, malah kematian. Lebih membimbangkan, penyakit ini tidak mengenal usia mahupun jantina.

Justeru, pengamalan gaya hidup sihat dilihat sebagai antara langkah penting dalam usaha mengurangkan risiko penyakit berbahaya ini.

Sempena sambutan Hari Kanser Sedunia yang diraikan pada 4 Februari, satu mitos popular sering dibangkitkan dalam kalangan masyarakat iaitu kepercayaan bahawa pesakit kanser perlu mengelakkan gula sepenuhnya bagi ‘mematikan’ sel kanser.

Persoalannya, benarkah gula merupakan ‘makanan utama’ sel kanser?

Mitos Pantang Gula Sepenuhnya

Kepercayaan bahawa pesakit kanser wajib menghentikan pengambilan gula 100 peratus masih berleluasa. Ada pesakit yang sanggup tidak menyentuh nasi dan buah-buahan kerana bimbang memberi ‘makanan’ kepada sel kanser.

Namun, tindakan ini sering mengundang kesan sebaliknya apabila tubuh menjadi lemah, berat badan menyusut secara mendadak dan tenaga berkurangan, sekali gus menyukarkan pesakit untuk menjalani rawatan seperti kemoterapi.

 

 

Penjelasan Dari Sudut Sains

Dari sudut perubatan, glukosa atau gula merupakan sumber tenaga penting kepada semua sel dalam badan, bukan hanya sel kanser. Sel otak, jantung dan otot juga memerlukan glukosa untuk berfungsi dengan baik.

Menghentikan pengambilan karbohidrat secara menyeluruh boleh menyebabkan sel-sel sihat turut terjejas dan tubuh menjadi lemah.

Rintangan Insulin dan Obesiti

Hubungan antara gula dan kanser sebenarnya bukan secara langsung. Pengambilan gula secara berlebihan boleh menyebabkan peningkatan berat badan dan obesiti, yang seterusnya membawa kepada keadaan rintangan insulin.

Apabila rintangan insulin berlaku, tubuh terpaksa menghasilkan insulin dalam jumlah yang tinggi bagi mengawal paras gula dalam darah. Keadaan ini mewujudkan ketidakseimbangan hormon serta keradangan dalam badan, yang boleh merangsang pertumbuhan sel kanser.

Penjelasan Untuk Pesakit Diabetes

Pesakit diabetes tidak seharusnya salah faham terhadap peranan insulin. Suntikan insulin yang diberikan oleh doktor merupakan rawatan penting untuk mengawal paras gula darah dan menyelamatkan nyawa.

Apa yang berbahaya adalah rintangan insulin akibat obesiti, bukannya penggunaan insulin sebagai rawatan. Oleh itu, pesakit dinasihatkan untuk terus mengambil ubat mengikut jadual yang ditetapkan oleh doktor.

Amalan Yang Disarankan

Masyarakat tidak disarankan untuk mengelakkan buah-buahan atau nasi secara berlebihan. Sebaliknya, pengambilan secara sederhana adalah lebih baik untuk kesihatan.

Apa yang perlu dikawal adalah pengambilan gula tambahan seperti gula pasir dan pemanis dalam minuman manis, selain menjaga berat badan agar kekal sihat.

Gula tambahan dalam minuman dan makanan diproses wajar dielakkan, namun gula semula jadi yang terkandung dalam buah-buahan tidak seharusnya disamakan.

Pendekatan seimbang dalam pemakanan dan gaya hidup sihat kekal menjadi kunci utama dalam usaha mengurangkan risiko kanser.

Sumber: Facebook

ERA Muzik Hit Terkini