Foto: Instagram
Pelakon Nabila Huda mengakui dirinya kini kurang berminat untuk bersosial kerana berasa rimas dengan sikap manusia serta kandungan di media sosial kebelakangan ini.
Advertisement
Menurut Nabila, 40, keadaan itu membuatkan dia tidak lagi berasa mahu mengambil tahu tentang apa yang berlaku di sekelilingnya.
“Sejak kebelakangan ini, saya rasa tidak berminat untuk berjumpa orang, berbual, membalas mesej, berkongsi apa-apa atau berpura-pura ambil tahu hal semasa. Saya langsung tiada mood untuk semua itu.
“Bukan kerana marah atau sedih, tetapi saya hanya mahu menjauhkan diri daripada manusia dan hiruk-pikuk seketika demi mencari ketenangan. Saya juga tidak ada tenaga untuk berpura-pura gembira terhadap perkara yang sudah hilang ‘spark’ dalam diri,” katanya menerusi Instagram.
Tambahnya, dia kini lebih memilih untuk memberi keutamaan kepada ketenangan diri daripada terus terperangkap dalam dunia media sosial yang menyesakkan.
“Saya tidak mahu tahu tentang apa yang berlaku di sekeliling, termasuk berita, gosip atau siapa yang melakukannya. Bukannya benci, tetapi saya cuma berasa rimas dengan manusia dan media sosial yang tidak pernah berhenti bising.
“Rasa rimas itu membuatkan saya mahu bersembunyi dan berdiam diri. Mungkin jiwa saya sedang meminta waktu untuk berehat,” ujar anak kepada penyanyi legenda Datuk Amy Search itu.
Walaupun begitu, Nabila masih dilihat aktif memuat naik foto dan kandungan di media sosial, dengan hantaran terakhir dibuat kira-kira tiga hari lalu.
Sumber: Instagram