Foto: Instagram
Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor mendedahkan ramai netizen sering memberi komen supaya dia menasihati adik-beradiknya.
Advertisement
Namun, menurut pelakon dan pengacara itu, tanggungjawab sebagai adik-beradik ada batasnya, dan tidak semua perkara boleh dipikul sendiri.
“Kadang-kadang orang menilai tanpa tahu situasi sebenar. Bila sesuatu tidak berlaku pada diri mereka, mereka cepat anggap kita tidak buat kerja atau tidak peduli.
“Hakikatnya, walaupun ibu atau ayah seorang ustaz atau ustazah, belum tentu mudah untuk menegur atau membentuk anak sendiri,” katanya kepada media.
Neelofa menegaskan, dia tetap menegur sebagai adik-beradik, tetapi peranan itu mesti dijalankan dengan penuh batasan.
“Kita ini sekadar adik-beradik. Mereka ada orang lain yang lebih bertanggungjawab ke atas mereka. Kita tegur sekadar yang patut, selebihnya biar pihak yang lebih layak,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan menjaga ‘boundaries’ dalam keluarga agar tidak timbul salah faham atau tekanan berlebihan.
Menurut Neelofa, tanggungjawab menegur bukan semudah yang disangka, malah ia memerlukan kebijaksanaan dan kesabaran.
Di hujung sesi temubual, Neelofa menyimpulkan bahawa sebagai adik-beradik, seseorang hanya mampu memberi nasihat dan teguran dalam kapasiti yang munasabah.
“Kita tak boleh melangkah terlalu jauh. Apa yang kita mampu, itulah yang kita buat,” katanya.
Suami kepada Neelofa, PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail, turut berkongsi pandangannya mengenai isu yang sama.
Pendakwah bebas itu menekankan bahawa setiap individu mempunyai perjalanan hijrah tersendiri dan tanggungjawab itu bergantung pada diri sendiri.
“Setiap orang melalui proses hijrah atas tanggungjawabnya sendiri. Kita sentiasa berusaha sehabis daya.
“Tapi hikmah dan kebijaksanaan penting dalam menegur orang lain,” katanya menerusi perkongsian di Threads.
PU Riz menambah bahawa menegur ahli keluarga harus dilakukan dengan ilmu, bukan emosi semata-mata, dan harus dijalankan dengan cara yang konsisten dan berhikmah.