Foto: Instagram
Pelakon yang juga merupakan penyampai radio, Neera Azizi akhirnya tampil memberikan penjelasan susulan isu video pendedahan jantina bayi yang mencetuskan perbincangan hangat di media sosial baru baru ini.
Advertisement
Menerusi satu hantaran di Instagram, Neera memohon agar isu berkenaan tidak dipanjangkan lagi dan mengucapkan terima kasih atas teguran yang diterima.
Dalam kenyataannya, Neera menjelaskan kehadirannya bersuara adalah dengan penuh rasa rendah diri bagi memperjelaskan perkara sebenar.
Menurutnya, video berkenaan dibuat tanpa niat lain selain sebagai tanda kesyukuran atas kurniaan yang diberikan oleh Allah SWT.
“Pada awalnya tujuan video tersebut dibuat hanya semata mata sebagai tanda syukur atas kurniaan anugerah Allah dan tidak ada niat lebih daripada itu,” jelasnya.
Bagaimanapun, Neera mengakui kaedah yang digunakan dalam perkongsian tersebut telah disalah tafsir dan dilihat kurang beradab oleh segelintir pihak. Justeru, dia menerima segala teguran yang diberikan dengan hati terbuka dan menganggapnya sebagai satu nasihat yang baik.
“Tanpa sedar kaedah kami dilihat kurang beradab. Terima kasih atas teguran yang diberikan, apa apa pun kami terima dengan hati yang terbuka,” katanya lagi.
Neera turut memberi jaminan bahawa perkara seumpama itu tidak akan berulang pada masa hadapan dan mengakui kesilapan tersebut sebagai kekhilafan diri sendiri.
“InsyaAllah kekhilafan ini tidak akan berulang lagi,” ujarnya.
Dalam masa sama, Neera menegaskan isu yang tular itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana mana pihak agensi pelancongan atau travel agency, sebaliknya berpunca sepenuhnya daripada kesilapan dirinya sendiri.
“Isu ini tidak ada berkait dengan mana mana pihak travel agency. Ini adalah kekhilafan diri sendiri,” tegasnya.
Mengakhiri penjelasan, Neera menyedari dirinya juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan berharap agar Allah SWT mengampuni dosa semua pihak.
“Saya juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan semoga Allah SWT mengampuni dosa setiap daripada kita,” katanya.
Sumber: Instagram