Foto: Instagram
Kemelut rumah tangga penyanyi dan usahawan Nubhan bersama isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek terus menjadi perhatian apabila prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Sepang hari ini mendedahkan pasangan itu sebenarnya pernah bercerai pada tahun 2017.
Advertisement
Menurut peguam kepada Afifah Hidayah, Datuk Akberdin Abdul Kader, prosiding tersebut membabitkan dua isu utama iaitu perceraian pertama pada 2017 serta lafaz talak baharu yang dibuat oleh Nubhan pada 26 Ogos lalu.
“Hari ini sebutan pertama bagi permohonan pengesahan dua talak dan satu rujuk. Mereka pernah bercerai pada tahun 2017 tetapi telah rujuk dalam tempoh idah tanpa pendaftaran rasmi. Permohonan hari ini melibatkan kedua-dua talak tersebut,” jelas Akberdin.
Beliau menambah, sekiranya kedua-dua lafaz itu disahkan oleh hakim, maka ia akan dikira sebagai talak dua.
“Saya difahamkan lafaz pertama juga dibuat di luar mahkamah. Jika disahkan, suami perlu membayar denda seperti yang ditetapkan mengikut prosedur biasa,” katanya kepada media di perkarangan mahkamah.
Akberdin hadir mengiringi anak guamnya, Afifah Hidayah, bagi sebutan pertama kes berkenaan yang difailkan Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamed, 39.
Beliau turut memaklumkan bahawa selepas urusan pengesahan perceraian selesai, barulah isu berkaitan hak penjagaan anak dan harta sepencarian akan dibincangkan.
Dalam masa sama, Akberdin turut mendedahkan wujud surat tawaran perceraian yang pernah dihantar oleh Nubhan kepada anak guamnya dua bulan lalu sebelum berlaku lafaz talak di luar mahkamah.
“Tawaran perceraian memang ada. Nubhan pernah hantar surat kepada anak guam saya, tetapi selepas kami membalas surat itu, tiada maklum balas lanjut,” katanya.
Terdahulu, Dr. Afifah Hidayah, 36, tiba di mahkamah sekitar pukul 9.45 pagi ditemani ahli keluarga dalam keadaan sugul dan enggan memberikan sebarang kenyataan kepada media.
Nubhan pula tiba lebih awal lima minit daripada isterinya dan hanya memohon agar segala urusan mahkamah berjalan lancar.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille, 3.
Sebelum ini, laporan media mendedahkan Nubhan sudah tidak lagi tinggal sebumbung dengan isterinya selepas melafazkan talak sekitar Ogos lalu serta memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di mahkamah.
Sumber: Kosmo