Foto: Soompi
Industri hiburan Korea sekali lagi digemparkan apabila ahli kumpulan 2NE1, Park Bom, mendakwa telah memfailkan saman terhadap Yang Hyun Suk, pengasas YG Entertainment, langkah yang mengejutkan ramai pihak termasuk agensinya sendiri.
Advertisement
Pada 22 Oktober lalu, Park Bom memuat naik gambar dokumen yang menyerupai laporan rasmi tuntutan mahkamah di akaun Instagramnya, tertera namanya sebagai plaintif dan Yang Hyun Suk sebagai defendan.
“Rakyat Korea, tolong siasat apa sebenarnya yang YG lakukan kepada Park Bom,” tulisnya dalam hantaran itu disertai dakwaan penyelewengan dan penipuan yang didakwa melibatkan jumlah luar biasa iaitu 64,272 trilion won (dianggarkan RM15,000 trilion).
Bagaimanapun, D-Nation Entertainment (agensi yang kini menguruskan Park Bom) menafikan bahawa sebarang tuntutan rasmi telah difailkan.
Dalam kenyataannya kepada media Korea, wakil agensi itu berkata mereka juga sedang menyiasat perkara berkenaan.
“Park Bom kini berada di luar kawalan kami. Kami sedang meneliti maklumat berkaitan tuntutan itu,” katanya.
Agensi tersebut turut menjelaskan bahawa semua urusan penyelesaian dan pembayaran hasil aktiviti Park Bom bersama 2NE1 telah diselesaikan sepenuhnya, malah tiada rekod tuntutan sebegitu diterima oleh pihak berkuasa.
“Tiada dokumen rasmi difailkan. Park Bom kini sedang menumpukan kepada rawatan dan pemulihan kesihatannya,” tambah kenyataan itu.
Dalam pada itu, Yang Hyun Suk dan YG Entertainment masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas setakat ini.
Beberapa portal hiburan Korea seperti MK dan Chosun melaporkan bahawa jumlah yang disebut dalam dakwaan Park Bom adalah tidak masuk akal dan mungkin tidak berpunca daripada dokumen undang-undang sebenar, sebaliknya sekadar luahan peribadi penyanyi itu di media sosial.
Park Bom, yang sebelum ini aktif dalam siri jelajah semula 2NE1, dilaporkan telah mengambil keputusan untuk berehat daripada aktiviti seni sejak Ogos lalu selepas menerima nasihat doktor berhubung kesihatan mentalnya.
Kes ini kini menjadi perbualan hangat dalam kalangan peminat K-pop di seluruh dunia. Ramai tertanya-tanya sama ada dakwaan Park Bom akan membawa kepada tindakan undang-undang sebenar, atau sekadar mencerminkan tekanan emosi yang sedang dihadapinya selepas bertahun-tahun berdepan isu kontrak dan pengurusan bersama agensi lamanya.
Buat masa ini, kebenaran sebenar masih belum dapat dipastikan, namun satu perkara jelas, kisah antara Park Bom dan YG Entertainment sekali lagi membuka semula perbincangan besar tentang hak artis dan ketelusan industri hiburan Korea Selatan.
Sumber: Soompi