Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Pempengaruh Media Sosial Terbang ke Antartika Tanpa Izin Didenda RM126,000!

pempengaruh media sosial terbang ke antartika tanpa izin didenda rm126,000!

Foto: Instagram

Advertisement

Baru berusia 19 tahun, mencuba untuk mencipta memori dengan terbang solo, namun kini dia mencipta sejarah yang diselaputi kontroversi.

Ethan Guo, seorang juruterbang muda berusia 19 tahun, mencuri perhatian dunia selepas ditahan oleh pihak berkuasa Chile kerana mendarat secara tidak sah di wilayah Antartika yang dikawal oleh negara tersebut. Walaupun menghadapi kemungkinan tuduhan jenayah, Guo kini dibebaskan tanpa sebarang dakwaan, namun semestinya ada denda yang menanti.

Guo telah memulakan misi beraninya untuk menjadi juruterbang solo termuda yang menjejakkan kaki atau lebih tepat, pesawatnya ke tujuh benua dunia. Dalam usahanya mengumpul dana untuk Hospital Penyelidikan Kanser Kanak-Kanak St. Jude, beliau telah menarik perhatian ramai melalui kandungan media sosial yang memaparkan detik-detik penerbangannya di TikTok dan Instagram.

Namun, pengembaraan impian ini bertukar menjadi mimpi ngeri apabila beliau mendarat di Lapangan Terbang Teniente Marsh, yang terletak di Pulau King George, tanpa kebenaran rasmi. Menurut laporan, Guo sebelum itu memberitahu kawalan trafik udara bahawa beliau hanya akan melakukan penerbangan di sekitar bandar Punta Arenas di Chile namun sebaliknya, beliau sebenarnya terbang jauh hingga ke Antartika.

Peguam Guo mendakwa terdapat ‘komplikasi’ yang memaksa beliau mendarat secara kecemasan di kawasan tersebut. Walaupun alasan ini diberikan, pihak berkuasa Chile tetap menahan beliau selama hampir dua bulan sementara siasatan dijalankan. Tuduhan termasuk memberikan maklumat penerbangan palsu turut dibangkitkan.

pempengaruh media sosial terbang ke antartika tanpa izin didenda rm126,000!

Foto: Instagram

Namun begitu, semua tuduhan terhadap Guo digugurkan, tetapi sebagai sebahagian daripada penyelesaian, beliau diwajibkan membuat sumbangan sebanyak RM126,000 kepada sebuah yayasan kanser kanak-kanak. Selain itu, Guo juga diharamkan daripada memasuki mana-mana wilayah Chile selama tiga tahun.

Walaupun telah dibenarkan untuk pulang, cuaca buruk menyebabkan Guo ‘terperangkap’ di Antartika selama enam minggu. Dalam satu kenyataan kepada Associated Press, beliau berkata:

“Saya masih berada di Antartika menunggu kelulusan untuk penerbangan pulang. Saya benar-benar berharap ia akan diberikan tidak lama lagi supaya saya dan pesawat saya dapat meneruskan misi asal kami.”

Kisah Ethan Guo mencerminkan semangat berani seorang remaja yang sanggup menempuh cabaran demi mencapai impian namun ia juga menjadi pengajaran bahawa keberanian perlu disertai dengan tanggungjawab dan pematuhan undang-undang.

Walaupun menerima kecaman kerana tindakannya, ramai juga yang memuji usaha beliau mengumpul dana bagi tujuan yang mulia. Kini, dunia menanti untuk melihat apakah Guo akan berjaya menamatkan misinya dan mungkin, belajar sesuatu yang bermakna dalam hidupnya.

Sumber: BBC

ERA Muzik Hit Terkini