Skip to main content

Advertisement

Hiburan

“Bebaskan Mereka Segera, Malaysia Akan Lakukan Yang Terbaik…” – PM Anwar

“bebaskan mereka segera, malaysia akan lakukan yang terbaik…” – pm anwarFoto: Reuters

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak akan berdiam diri berhubung tindakan rejim Zionis Israel yang memintas konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) serta menahan aktivis kemanusiaan termasuk rakyat Malaysia.

Advertisement

Anwar berkata, kerajaan mendesak agar semua aktivis dan sukarelawan antarabangsa yang terbabit dibebaskan segera kerana flotila berkenaan membawa misi bantuan penting untuk rakyat Gaza.

“Ini sebuah misi kemanusiaan yang membawa orang awam tidak bersenjata bersama bekalan makanan dan ubat-ubatan. Kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk membebaskan warga Malaysia dalam tahanan,” katanya menerusi hantaran di media sosial, Khamis.

Menurut beliau, tindakan Israel menyekat flotila bukan sahaja menafikan hak asasi rakyat Palestin, malah mencabar nurani masyarakat dunia

“Flotila tersebut bukan sekadar konvoi bantuan, tetapi simbol perpaduan, solidariti dan kasih sayang umat manusia. Ia membawa sinar harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang dipaksa hidup melarat di bawah sekatan zalim,” ujarnya.

Anwar turut menegaskan bahawa Malaysia akan mengambil segala langkah sah berasaskan undang-undang antarabangsa bagi menuntut pertanggungjawaban Israel, khususnya apabila keselamatan warganegara sendiri terancam.

“Keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan dan kita tidak akan bungkam tatkala hak serta maruah mereka dicabuli,” katanya.

Malaysia, jelas beliau, akan terus konsisten memperjuangkan hak rakyat Palestin dan tidak akan berganjak daripada menuntut agar kezaliman rejim Zionis dihentikan.

Sumber: Astro AWANI

ERA Muzik Hit Terkini