Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Belum ‘Selamat Sepenuhnya’ Tapi Populasi Penyu Hijau Dunia Semakin Pulih

belum ‘selamat sepenuhnya’ tapi populasi penyu hijau dunia semakin pulihFoto: X

Tular di media sosial baru-baru ini dakwaan bahawa penyu hijau kini tidak lagi tergolong dalam spesies terancam selepas disenaraikan sebagai ‘Least Concern’ oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).

Advertisement

Ramai menyambut berita itu sebagai kemenangan besar untuk alam sekitar namun sejauh mana kebenarannya?

Hasil semakan mendapati, secara global penyu hijau atau Chelonia mydas masih dikategorikan sebagai ‘Endangered’ dalam Senarai Merah IUCN. Ini bermakna spesies ini belum benar-benar bebas daripada risiko kepupusan.

Bagaimanapun terdapat perkembangan positif yang memberi harapan kepada masa depan penyu laut ini. Beberapa subpopulasi tertentu terutama di kawasan Atlantik dan Pasifik menunjukkan peningkatan ketara dalam jumlah penetasan dan pembiakan sejak beberapa dekad lalu hasil usaha pemuliharaan berterusan di seluruh dunia.

 

 

Menurut laporan IUCN Marine Turtle Specialist Group, populasi penyu hijau meningkat hampir 28 peratus sejak tahun 1970-an berkat pelbagai inisiatif global termasuk larangan penangkapan, perlindungan pantai penetasan dan program penyelamatan telur.

Namun begitu ancaman terhadap penyu hijau belum berakhir. Aktiviti penangkapan ikan secara tidak terkawal, pencemaran laut, pemanasan global dan pencerobohan pantai penetasan terus menjadi cabaran utama kepada kelangsungan spesies ini.

Peningkatan populasi penyu hijau sememangnya tanda kemajuan tetapi menurut penyelidik IUCN, masyarakat tidak boleh leka kerana mereka masih memerlukan perlindungan berterusan.

Walaupun belum disahkan sebagai ‘Least Concern’, kisah pemulihan penyu hijau tetap memberi inspirasi bahawa dengan kesedaran dan tindakan bersama, spesies yang pernah hampir pupus ini kini kembali bernafas di lautan dunia.

Mungkin belum tiba masa untuk meraikan kemenangan mutlak, tetapi sekurang-kurangnya alam sedang menunjukkan tanda-tanda penyembuhan.

Sumber: X, IUCN

ERA Muzik Hit Terkini