Foto: Instagram
Menjelang ulang tahun ke-40 pada 2026, Golden Disc Awards (GDA) yang dianggap sebagai ‘Grammy Korea’ telah mengumumkan senarai khas berjudul ’Golden Disc Powerhouse 40’, bagi menghargai tokoh paling berpengaruh yang telah membentuk landskap muzik pop Korea sepanjang empat dekad.
Advertisement
Anugerah berprestij yang diasaskan pada tahun 1986 ini dianjurkan oleh Korea Music Content Association bersama JoongAng Ilbo. Tidak seperti anugerah muzik lain, GDA dikenali kerana penilaiannya berdasarkan jualan sebenar dan pencapaian konsisten, bukan sekadar undian populariti.
Senarai ‘Powerhouse 40’ ini dipilih oleh jawatankuasa khas yang terdiri daripada 50 pakar industri muzik termasuk penerbit, penulis lagu, wartawan serta pengkritik muzik, menjadikannya antara pengiktirafan paling berautoriti dalam dunia K-pop.
Senarai bersejarah ini bukan sekadar penghormatan, tetapi juga menjadi rekod evolusi muzik pop Korea, menggambarkan masa lalu, menilai masa kini dan membuka pandangan terhadap masa depan industri.
Antara nama besar yang tersenarai termasuk kumpulan gergasi global BTS, yang diiktiraf sebagai ikon pop abad ke-21 atas kejayaan mereka menembusi pasaran antarabangsa serta mencipta rekod memenangi kategori digital dan album secara serentak.
K-POP GROUPS who are recognized in the “Golden Disc Powerhouse 40” as one of the Most Influential Figures in the history of Korean Pop Music.
— Pop Core (@TheePopCore) October 23, 2025
—They were selected by 50 experts, including producers, composers, lyricists, media professionals, journalists, and critics. pic.twitter.com/rq4G3M9Sw2
Tidak ketinggalan, BLACKPINK turut diiktiraf bukan sahaja atas kejayaan muzik, tetapi juga kerana pengaruh besar mereka dalam budaya, ekonomi dan diplomasi, menjadikan mereka antara kumpulan wanita paling berpengaruh di dunia.
Turut menerima penghormatan ialah kumpulan legenda seperti BIGBANG, Girls’ Generation (SNSD), H.O.T., g.o.d., serta artis solo seperti IU, PSY, Na Hoon-a, Shin Seung-hoon, Cho Yong-pil, dan Lim Young-woong yang masing-masing meninggalkan impak mendalam dalam sejarah muzik Korea.
Senarai itu juga menghargai penulis lagu dan penerbit hebat seperti Yoo Young-jin, Teddy, dan Kim Min-ki, yang menghasilkan lagu-lagu ikonik yang mendefinisikan era mereka.
“Powerhouse 40” bukan sekadar senarai nama, tetapi simbol penghargaan terhadap mereka yang mengangkat K-pop dari budaya tempatan menjadi fenomena global.
Sumber: X