
Foto: BNO News
Advertisement
Dunia diraja Britain kembali menjadi tumpuan apabila Istana Buckingham mengesahkan bahawa Putera Andrew telah dilucutkan semua gelaran diraja dan ketenteraan, selain diarahkan keluar dari kediaman mewahnya di Windsor.
Keputusan drastik itu dilaporkan dibuat selepas perbincangan panjang di peringkat tertinggi istana, satu langkah yang dianggap memalukan namun tidak dapat dielakkan bagi memelihara reputasi monarki.
Putera Andrew, adik kepada Raja Charles III, sebelum ini terpalit dengan pelbagai kontroversi dan skandal peribadi yang mencetuskan kemarahan rakyat Britain serta menjejaskan imej keluarga diraja. Walaupun beliau menafikan dakwaan-dakwaan yang timbul, tekanan awam dan desakan politik akhirnya membawa kepada keputusan paling keras dalam sejarah moden monarki itu.

Menurut kenyataan rasmi istana, semua gelaran kehormat dan peranan diraja Putera Andrew kini dikembalikan kepada Raja, menjadikan beliau bukan lagi sebahagian daripada anggota aktif keluarga diraja. Bahkan, kediamannya di Royal Lodge, Windsor, yang pernah menjadi simbol kemewahan dan statusnya, juga akan dikosongkan dalam tempoh terdekat.

Langkah ini menandakan pengakhiran era bagi Putera Andrew daripada seorang putera yang disanjung kepada figura yang dipinggirkan.
Namun bagi pihak istana, keputusan ini dilihat sebagai usaha untuk “memulihkan maruah institusi diraja”, membuktikan bahawa tiada siapa pun, walau berdarah biru sekalipun berada di atas undang-undang dan tanggungjawab moral.
Sumber: BNO News