Foto: Instagram
Pelakon filem Babah, Qi Razali, 48 tahun, selamat melangsungkan pernikahan dengan wanita pilihannya, Wardah, 30 tahun, yang juga merupakan seorang jurusolek, dalam satu majlis yang berlangsung di Gopeng, Perak semalam.
Advertisement
Berita gembira itu pada mulanya dikongsikan oleh personaliti televisyen terkenal, Fedtri Yahya, menerusi akaun media sosial miliknya. Fedtri turut bertindak sebagai pengacara majlis pernikahan pasangan tersebut.
“Alhamdulillah, diberi kesempatan untuk mengacarakan majlis pernikahan Qi Razali dan Wardah. Tahniah Babah! Kedua-duanya merupakan anak bongsu. Menariknya, pengantin perempuan yang juga seorang jurusolek, menyolek dirinya sendiri,” tulis Fedtri di Instagram, disertai beberapa keping foto majlis.
Menurut Fedtri lagi, majlis pernikahan pasangan itu berkonsepkan “simfoni alam” dengan tema warna putih salju yang melambangkan kebahagiaan.
Menjengah ke ruangan komen, ramai warganet mengucapkan tahniah serta mendoakan agar perkahwinan Qi dan Wardah berkekalan hingga ke syurga. Mereka turut memuji keindahan majlis yang diadakan secara sederhana namun tetap meriah.
Sebelum ini, Qi pernah berkongsi kepada media bahawa dia merancang untuk berkahwin pada bulan Mei dengan wanita yang telah berjaya menawan hatinya itu.
Ketika ditanya mengapa dia merasakan kini adalah masa yang sesuai untuk berkahwin, Qi menjelaskan bahawa rasa selesa, ketenangan hati dan rasa rindu terhadap kehadiran Wardah membuatkan dia yakin dengan keputusannya.
“Saya rasa selesa, lapang dada dan selalu rasa rindu serta ingin tahu tentang dirinya walaupun dia tiada di sisi. Apabila perasaan itu muncul, saya sedar betapa pentingnya kehadiran dia dalam hidup saya.
“Apabila sudah berkahwin, lebih mudah untuk bina persefahaman kerana asasnya sudah ada rasa selesa, ketenangan tanpa tekanan atau gangguan emosi,” katanya.
Dalam majlis yang berlangsung penuh bermakna itu, Qi atau nama penuhnya Qushairi Mohammed Razali Wong menyerahkan mas kahwin sebanyak RM101.00 kepada Wardah. Namun begitu, jumlah hantaran tidak didedahkan kepada umum.
Untuk rekod, Qi yang juga merupakan anggota kumpulan muzik OAG pernah beberapa kali menjalinkan hubungan cinta dengan beberapa selebriti tanah air, namun hubungan tersebut tidak kekal lama.
Sumber: Instagram