Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Reza Rahadian Sedia Tempa Nama Di Malaysia, Idam Gandingan Bersama Zizan Razak dan Sharifah Amani

reza rahadian sedia tempa nama di malaysia, idam gandingan bersama zizan razak dan sharifah amaniFoto: Instagram

Pelakon tersohor Indonesia, Reza Rahadian meluahkan keterujaannya untuk mencuba nasib serta mengembangkan karier lakonannya di industri perfileman Malaysia selepas sekian lama menempa kejayaan besar di negara kelahirannya.

Advertisement

Menurut Reza, beliau sebenarnya sudah beberapa kali menerima tawaran untuk berlakon di Malaysia sebelum ini. Namun, segala perancangan itu terpaksa diketepikan akibat kesibukan jadual kerjanya yang padat.

“Sudah tentu saya terbuka untuk mencuba nasib dan melebarkan sayap di Malaysia. Memang sebelum ini ada beberapa tawaran, tapi jadual saya ketika itu tidak mengizinkan,” katanya ketika ditemui pada Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) baru-baru ini.

Reza yang terkenal dengan lakonannya dalam filem ikonik Habibie & Ainun turut berkongsi bahawa dia sudah menyimpan hasrat untuk bergandingan dengan beberapa pelakon popular tanah air yang sangat dikaguminya.

Antara yang disebut secara khusus ialah pelawak dan pelakon versatil Zizan Razak serta aktres berbakat besar, Sharifah Amani.

“Saya looking forward untuk bekerjasama dengan Zizan Razak. Saya juga ada impian nak bergandingan dengan pelakon wanita Malaysia yang saya sangat kagumi iaitu Sharifah Amani. Sharifah Amani seorang pelakon yang hebat, saya sangat kagumi dengan bakatnya,” ujar Reza penuh semangat.

Kehadiran Reza ke MIFFest turut mencuri perhatian ramai apabila beliau diumumkan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Cemerlang Dalam Filem (Excellent Achievement in Film) atas sumbangan luar biasa beliau dalam dunia lakonan serta pencapaian cemerlang sepanjang bergelar anak seni.

Dengan pengalaman lebih dua dekad dalam industri hiburan dan lakonan yang merentasi pelbagai genre serta bahasa, keterbukaan Reza Rahadian untuk menyertai dunia perfileman Malaysia dijangka memberi suntikan segar kepada kerjasama antara dua industri seni serumpun.

Rata-rata peminat di media sosial juga menyuarakan keterujaan sekiranya impian Reza untuk bergandingan dengan bintang tempatan dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

Sumber: Gempak

ERA Muzik Hit Terkini