Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Penghormatan Diraja Buat Rita Rudaini Setelah 28 Tahun Menabur Bakti Dalam Dunia Seni

penghormatan diraja buat rita rudaini setelah 28 tahun menabur bakti dalam dunia seni

Foto: Instagram

Advertisement

Dalam satu detik penuh bersejarah yang pasti terpahat indah dalam kenangan, personaliti seni tersohor tanah air, Rita Rudaini Mohammad Mokhtar atau Rita Rudaini, 49, meluahkan rasa syukur dan terharu atas penganugerahan Pingat Jasa Baik (PJB) oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Dalam kenyataan di Instagram yang penuh emosi dan ketulusan, beliau menzahirkan penghargaan mendalam kepada Allah SWT serta kepada Baginda Tuanku Raja Perlis atas penghormatan yang disifatkannya sebagai rezeki bukan hanya untuk diri sendiri, malah untuk anak-anak, peminat setia dan semua pihak yang selama ini berdiri teguh menyokong perjuangan seninya.

“Ia adalah satu penghormatan besar dan saya anggap sebagai rezeki bukan hanya untuk diri saya, tetapi juga buat anak-anak serta semua yang sentiasa menyokong perjalanan seni saya,” ujar beliau dengan penuh kesyukuran.

Sebagai anak kelahiran Perlis, pengiktirafan dari negeri tercinta ini memberi makna yang luar biasa. Selama hampir tiga dekad beliau mengabdikan diri dalam dunia seni kreatif, kini segala usaha, keringat dan komitmen beliau akhirnya dihargai pada peringkat tertinggi.

penghormatan diraja buat rita rudaini setelah 28 tahun menabur bakti dalam dunia seni

Foto: Instagram

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Exco Kerajaan Negeri Perlis atas kepercayaan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi.

“Insya-Allah, akan ada banyak aktiviti bersama mereka nanti,” katanya, membayangkan kolaborasi menarik yang bakal mengangkat seni tempatan ke tahap lebih tinggi.

Penghargaan istimewa juga diberikan kepada penerbit, pengarah, penggiat seni, rakan media dan para peminat yang menjadi nadi kepada kelangsungan perjalanan seni beliau.

Momen manis ini turut diserikan dengan jemputan dari Tuanku Permaisuri Raja Perlis, Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid, yang menjemput tokoh selebriti Dr. Ezani untuk berlakon dalam persembahan semasa waktu santapan diraja, ini dikira sebagai satu penghormatan eksklusif yang jarang dinikmati oleh insan seni.

Dengan penganugerahan Pingat Jasa Baik (PJB) ini, nama Rita Rudaini kini terukir sebagai salah seorang ikon seni Perlis yang telah memberi sumbangan luar biasa kepada pembangunan budaya dan hiburan tanah air. Ia bukan sekadar satu pencapaian peribadi, tetapi lambang semangat, dedikasi dan kasih terhadap seni tanah air.

Salam hormat dari seluruh rakyat Malaysia tahniah Rita Rudaini, semoga terus menginspirasi dan menerangi dunia seni dengan bakat dan keikhlasan.

Sumber: Instagram

ERA Muzik Hit Terkini