Foto: Forbes
Anggota BLACKPINK, Rosé, melakar sejarah apabila memenangi kategori Lagu Antarabangsa Terbaik di Brit Awards menerusi kolaborasinya bersama Bruno Mars dalam lagu APT., sekali gus menjadi artis K Pop pertama meraih pengiktirafan tersebut.
Advertisement
Pada majlis edisi ke-46 yang berlangsung di Manchester pada 28 haribulan kelmarin, Rosé diumumkan sebagai pemenang bagi kategori berkenaan.
Ketika melangkah ke pentas menerima trofi, dia kelihatan jelas teruja dengan kemenangan itu.
“Oh my God. It’s an honor to receive this award among so many talented and respected musicians in the UK,” ujarnya.
Rosé turut mendedikasikan kemenangan tersebut kepada Bruno Mars yang menjadi rakan duetnya.
“First, Bruno, I’m accepting this award on behalf of both of us. Thank you for being my biggest mentor and best friend,” ujarnya.
Dalam masa sama, Rosè tidak melupakan rakan sekumpulannya.
“I want to give a shout-out to BLACKPINK, Jennie, Jisoo and Lisa. I love you all. Thank you for always inspiring me,” katanya, menunjukkan penghargaan terhadap ahli kumpulan.
Penyanyi itu juga menzahirkan rasa kasih kepada penerbit utama agensinya, Teddy Park, yang mesra dipanggil Teddy Oppa.
“I love you so much,” katanya lagi.
Sekadar info, APT. dilancarkan pada Oktober 2024 sebagai lagu pra keluaran bagi album solo Rosé.
Lagu yang diinspirasikan daripada permainan minum popular di Korea itu menampilkan cangkuk ‘Apartment, apartment’ yang mudah melekat selain melodi korus yang rancak serta video muzik berkonsepkan komedi.
Sejurus dilancarkan, lagu berkenaan menguasai carta muzik antarabangsa.
Di Amerika Syarikat, APT. menduduki tangga ketiga Billboard Hot 100, pencapaian tertinggi pernah diraih artis wanita K Pop. Di United Kingdom pula, ia mencapai kedudukan kedua Carta Rasmi Single UK dan kekal dalam carta lebih setahun.
Kejayaan itu turut membawa APT. ke pentas Grammy Awards apabila menerima pencalonan.
Walaupun tidak membawa pulang trofi, Rosé tetap mencipta sejarah sebagai artis K Pop pertama membuat persembahan di acara pembukaan Grammy serta menerima pencalonan dalam kategori utama Big Four dan meraih pencalonan terbanyak dalam kalangan artis K Pop.
Sumber: Forbes