
Foto: Free Malaysia Today
Advertisement
Pertubuhan Hak Asasi Haiwan, People for the Ethical Treatment of Animals (PETA), telah menarik perhatian orang ramai dengan meletakkan sebuah 'sangkar manusia' di Kasturi Walk, Pasar Seni untuk meningkatkan kesedaran terhadap kebajikan haiwan. Dalam demonstrasi tersebut, orang awam ditawarkan ganjaran sebanyak RM10 sekiranya sanggup duduk di dalam sangkar tersebut.
Demonstrasi ini mencetuskan pelbagai reaksi daripada orang ramai, ada yang tertarik, dan ada yang berasa simpati terhadap mesej yang ingin disampaikan. Walaupun peserta mendapat imbuhan wang, namun mesej yang ingin disampaikan lebih utama.
Seorang sukarelawan PETA, Ong Xin Ru, menjelaskan bahawa sangkar kecil itu direka untuk menggambarkan secara visual keadaan sempit dan menyeksakan haiwan-haiwan dalam pelbagai industri, termasuk ladang ternakan secara besar-besaran dan zoo.
“Kami mahu orang ramai merasai sendiri, walaupun hanya seketika, bagaimana rasanya terkurung tanpa kebebasan,” kata Ong.
“Objektif kami adalah untuk menanam rasa empati terhadap kehilangan kebebasan dan penderitaan yang dialami oleh haiwan setiap hari.”
Beberapa pengunjung menyertai demonstrasi tersebut, ada yang tertarik dengan keunikannya, manakala yang lain tertarik dengan peluang untuk mendapatkan wang tunai dengan mudah. Bagaimanapun, sukarelawan PETA sentiasa berada di lokasi bagi memberi penjelasan kepada peserta dan orang awam mengenai isu-isu kebajikan haiwan.
Acara ini merupakan yang pertama daripada siri demonstrasi yang akan dianjurkan oleh PETA di beberapa bandar besar lain termasuk Singapura, Bangkok, Mexico City, Buenos Aires dan New York City.
Demonstrasi ini menjadi peringatan kuat bahawa setiap makhluk hidup berhak untuk bebas, dan penderitaan haiwan bukanlah isu yang patut dipandang ringan. PETA berharap lebih ramai masyarakat akan membuka mata dan mengambil tindakan terhadap penderitaan yang dialami oleh haiwan di seluruh dunia.
Adakah anda akan berani masuk ke dalam sangkar tersebut, walaupun hanya untuk beberapa minit?
Sumber: Free Malaysia Today