Foto: Facebook
Pelakon dan pengacara veteran, Sarimah Ibrahim, meluahkan rasa kecewa terhadap landskap industri hiburan Malaysia, memberi bayangan bahawa terdapat banyak perkara serius yang masih tersembunyi daripada pengetahuan umum.
Advertisement
"Baru saja menerima berita 'tumpah teh'. Walaupun saya tidak terkejut kerana sudah hampir tiga dekad hidup dalam realiti ini tetapi saya masih rasa kecewa dengan industri kita,” tulisnya di media sosial.
Menurutnya, bakat dan kerjaya dalam bidang seni adalah amanah, sesuatu yang sepatutnya dijaga dengan penuh integriti dan tidak seharusnya diperdagangkan untuk sensasi atau keuntungan cepat.
"Pada akhirnya bakat dalam industri ini adalah satu kurniaan dan amanah yang tiada harga untuk dijual beli,” tegas Sarimah.
Yang menarik, Sarimah turut memberi bayangan bahawa masih terdapat banyak rahsia yang belum didedahkan, termasuk kemungkinan konflik dalaman dan isu-isu yang sengaja disembunyikan daripada orang ramai.
Bagaimanapun, Sarimah memilih untuk tidak mendedahkan semua secara terbuka bagi mengelakkan kemudaratan kepada pihak tertentu.
"Saya harap saya boleh mendedahkan semuanya tetapi tak sampai hati sebab nanti ada yang terus lemas," jelasnya.
Kenyataan ini mendapat perhatian ramai kerana Sarimah merupakan salah seorang penggiat seni veteran yang hampir 30 tahun berkhidmat dalam industri.
Ucapan Sarimah juga dilihat sebagai cerminan keresahan ramai artis yang berasa industri hiburan kini semakin toksik, di mana nilai seni, profesionalisme dan solidariti sering dikorbankan demi kontroversi dan publisiti murahan.
Selain itu, kenyataan ini juga disokong oleh pengalaman beberapa artis lain yang pernah mengkritik budaya menyebar aib dan persaingan negatif dalam industri hiburan.
Ramai peminat berharap kenyataan Sarimah ini akan menjadi peringatan kepada pihak berkuasa dan penggiat seni untuk memperbaiki sistem dan etika dalam dunia hiburan Malaysia.
Sumber: Threads