
Selepas empat dekad menjadi nadi hiburan dan muzik global, MTV mengumumkan penutupan lima saluran muzik utamanya di United Kingdom pada 31 Disember tahun ini, menandakan tamatnya satu era ikonik dalam dunia penyiaran muzik.
Advertisement
Lima saluran yang bakal ditamatkan ialah:
- MTV Music
- MTV 80s
- MTV 90s
- Club MTV
- MTV Live
Bagaimanapun, saluran utama MTV HD akan terus bersiaran namun lebih tertumpu kepada kandungan realiti popular seperti Naked Dating UK dan Geordie Shore.
MTV mula bersiaran di Amerika Syarikat pada 1981 dengan memecah tradisi radio memperkenalkan siaran 24 jam khusus untuk muzik. Lagu pertama yang berkumandang di skrin mereka ialah Video Killed the Radio Star oleh The Buggles simbol permulaan revolusi visual muzik.

Enam tahun kemudian, MTV Europe dilancarkan pada 1987 sebelum UK memperoleh saluran sendiri pada 1997. Sejak itu, MTV bukan sekadar stesen TV ia menjadi pusat budaya pop global, tempat artis dilahirkan dan muzik disatukan.
Bekas VJ MTV terkenal, Simone Angel, meluahkan rasa pilu apabila mengetahui tentang penutupan ini.

“Saya sangat sedih… MTV adalah tempat semua orang berkumpul kita menari, kita dengar muzik bersama. Sekarang semua terpisah dalam ‘buih’ digital masing-masing,” katanya kepada BBC.
Simone juga mengenang saat-saat awal MTV UK sebagai masa yang “liar” dan penuh keseronokan, ibarat percutian sekolah tanpa guru. Pada era 1990-an, MTV Europe merupakan saluran hiburan paling luas di dunia dengan 100 hingga 150 juta penonton.
Penutupan ini bukanlah kejutan besar kerana perubahan cara orang mendengar muzik melalui platform digital seperti YouTube dan Spotify telah lama mengubah landskap industri hiburan. Namun bagi ramai, MTV tetap menjadi simbol zaman keemasan muzik dan budaya pop.
“MTV bukan sekadar jenama, ia sebahagian daripada hidup ramai orang,” ujar Simone. “Sukar terima bahawa era itu benar-benar berakhir.”
MTV pernah menjadi “pintu utama” kepada dunia muzik memperkenalkan artis baharu, mencipta tren global dan mengikat peminat muzik dalam satu komuniti besar. Kini, walaupun saluran muziknya bakal ditutup, legasi MTV akan terus hidup dalam kenangan jutaan penonton di seluruh dunia.
Sumber: E! News