
Foto: Instagram
Advertisement
Isu mengenai kemungkinan kembalinya kejohanan Formula 1 (F1) ke Malaysia kembali menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat sukan permotoran selepas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini.
Bagaimanapun, SIC dalam kenyataan rasmi menegaskan bahawa kenyataan tersebut sebenarnya merujuk khusus kepada pembaharuan kontrak MotoGP Malaysia selepas tahun 2026, dan bukannya berkaitan dengan usaha membawa semula F1 ke negara ini.
Menurut SIC, walaupun F1 kekal sebagai sebahagian penting dalam sejarah penganjuran di Litar Sepang, usaha mendapatkan semula hak penganjuran terbukti rumit serta menelan kos yang sangat tinggi.
“Walaupun Formula 1 tetap menjadi sebahagian daripada legasi kami, keutamaan kini adalah memastikan MotoGP terus kekal. Kejohanan ini masih menerima sokongan luar biasa daripada peminat tempatan dan lebih mudah diakses, sama ada dari sudut penonton mahupun pihak penganjur,” jelas kenyataan itu.
Malaysia Kekal Hos MotoGP Hingga 2026
Buat masa ini, Malaysia telah disahkan sebagai tuan rumah MotoGP sehingga tahun 2026. SIC menegaskan bahawa pihaknya komited untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dorna Sports S.L selaku pemegang hak komersial, serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan kesinambungan acara berprestij itu.
MotoGP di Sepang saban tahun menerima sambutan luar biasa daripada peminat sukan bermotor, malah ia menjadi antara acara sukan antarabangsa yang paling banyak menarik kehadiran penonton dari luar negara, sekali gus memberikan impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.
Dalam kenyataan sama, SIC turut menjelaskan bahawa pihaknya akan terus menyediakan data dan pandangan komprehensif mengenai kesan ekonomi, pembangunan industri sukan, serta faedah pelancongan untuk menyokong sebarang proses membuat keputusan berhubung masa depan MotoGP di Malaysia.
“Kami amat menghargai semangat yang ditunjukkan oleh peminat, masyarakat umum, dan semua pihak berkepentingan. SIC sekali lagi menegaskan komitmen kami untuk memastikan MotoGP terus kekal di Malaysia demi manfaat para peminat, rakan kerjasama, serta negara,” menurut kenyataan itu.
F1 Tinggal Kenangan, MotoGP Jadi Tumpuan
Sebagai rekod, Malaysia mula menganjurkan F1 di Litar Antarabangsa Sepang pada tahun 1999 dan kali terakhir menjadi tuan rumah pada tahun 2017. Sejak itu, tumpuan diberikan kepada MotoGP yang terbukti lebih relevan dari sudut kos, sokongan peminat, dan pulangan ekonomi kepada negara.
Dengan perkembangan ini, jelas bahawa Malaysia akan terus memberi fokus kepada MotoGP sebagai acara utama di SIC, sekali gus mengekalkan kedudukan Sepang sebagai antara litar ikonik dunia dalam sukan permotoran dua roda.
Sumber: SIC