Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Siti Nurhaliza Tidak Sangka Diiktiraf Legenda Muzik Asia Tenggara

siti nurhaliza tidak sangka diiktiraf legenda muzik asia tenggaraFoto: SeaAsia Stats

Penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa terkejut apabila disenaraikan sebagai Legenda Muzik Asia Tenggara oleh SeaAsia Stats, susulan kejayaan mengumpul lebih 300 anugerah sepanjang lebih 20 tahun berkecimpung dalam industri seni.

Advertisement

Pada masa sama, Siti yang berusia 46 tahun itu turut mengekalkan kedudukan sebagai artis Malaysia dengan pencapaian anugerah tertinggi setakat ini.

Mengulas perkara tersebut, Siti mengakui dia langsung tidak menyangka menerima pengiktirafan berkenaan kerana ketika itu sibuk menyertai aktiviti pertandingan Pickle Balls anjuran Yayasan Nurjiwa.

“Betulkah ni? Alhamdulillah, terima kasih. Saya pun tidak fikir langsung soal ini kerana terlalu fokus dengan aktiviti harian serta kerja yang perlu diselesaikan.

“Kalau ada pihak yang menghargai, saya bersyukur. Selama ini saya bekerja kerana minat dan kecintaan terhadap muzik. Semua orang boleh lakukan yang terbaik dan memberi sumbangan kepada negara. Jadikan ini sebagai motivasi untuk terus maju,” katanya ketika ditemui di acara Paddle For Hope di sini, semalam.

Tambahnya lagi, sama ada menerima anugerah ataupun tidak, dia akan tetap memberikan sepenuh usaha dalam setiap projeknya.

“Bagi saya, anugerah bukanlah matlamat utama. Apa yang penting, saya hasilkan karya, album, persembahan dan konsert dengan penuh dedikasi. Seni itu sendiri sudah menjadi satu cinta dalam hidup saya, malah kini saya berada dalam fasa untuk memberi semula kepada masyarakat.

“Status legenda ini adalah penghargaan besar, tetapi saya tidak mahu terbeban dengannya. Yang utama, saya terus buat kerja dengan baik kerana itu sudah jadi amanah untuk membahagiakan orang lain,” ujarnya.

Semalam, SeaAsia Stats melaporkan Siti Nurhaliza telah diiktiraf sebagai Legenda Muzik Asia Tenggara mewakili Malaysia, bersama sembilan lagi nama besar rantau ini termasuk penyanyi terkenal Indonesia, Iwan Fals.

Sumber: SeaAsia Stats

ERA Muzik Hit Terkini