
Foto: Astro Awani
Advertisement
Kerajaan Malaysia telah mengumumkan pengurangan kadar subsidi telur ayam sebanyak 50% bermula 1 Mei 2025, daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji. Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha penyasaran semula subsidi di bawah inisiatif Kerajaan Madani.
Memetik laporan Awani, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjelaskan bahawa pemberian subsidi sepenuhnya akan ditamatkan pada 1 Ogos 2025.
Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira komitmen industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam kekal mencukupi dan terjamin, susulan kos pengeluaran yang telah stabil.
Sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion dalam bentuk subsidi kepada industri pengeluar telur bagi menampung peningkatan kos pengeluaran akibat pandemik COVID-19 serta kesan peperangan antara Ukraine dan Rusia yang menyebabkan harga import jagung dan soya melonjak.
Dalam pada itu, kerajaan juga mengambil kira bahawa pemberian subsidi dan kawalan harga terlalu lama adalah tidak mampan untuk kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara.
Langkah penyasaran semula subsidi ini juga dianggap lebih adil kerana subsidi sebelum ini turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi. Hasil penjimatan subsidi ini kelak boleh disalurkan kepada pembiayaan projek-projek tertentu demi kesejahteraan rakyat selaras dengan nilai Madani.
Bagi meminimumkan impak ke atas kos sara hidup, KPKM bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan langkah intervensi termasuk memperkenalkan telur gred khas pada harga berpatutan hasil komitmen pihak industri.
Rakyat juga boleh mendapatkan bekalan telur pada harga yang lebih kompetitif menerusi inisiatif Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah di seluruh negara, termasuk di semua cawangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
KPDN akan mempertingkatkan penguatkuasaan melalui pemantauan berterusan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi membanteras sebarang aktiviti pencatutan atau manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.
Sebarang maklumat atau aduan berhubung isu bekalan telur boleh disalurkan melalui e-mel rasmi KPKM di alamat pro@kpkm.gov.my atau melalui hotline Ibu Pejabat KPKM Putrajaya 03-8000 8000.
Sumber: Astro Awani