Foto: Facebook
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan bahawa beliau sendiri pernah menjadi mangsa buli ketika zaman persekolahan, meskipun dikenali sebagai seorang yang lantang bersuara dan tegas dalam pendirian.
Advertisement
Menurut beliau, pengalaman pahit itu berlaku ketika berada di tingkatan lima di sebuah sekolah tentera. Kejadian tercetus apabila beliau cuba mempertahankan rakan yang dibuli di hadapannya.
“Saya masih ingat peristiwa itu. Ada kes buli berlaku depan mata, saya tidak sanggup berdiam diri lalu tampil untuk mempertahankan kawan. Namun, akhirnya saya pula yang kena lempang sehingga terjatuh,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa saiz tubuhnya yang kecil dan penampilan sebagai seorang yang rajin belajar mungkin menjadi punca dirinya mudah dijadikan sasaran.
“Mungkin sebab saya bersaiz kecil dan dianggap ‘nerd’ atau ulat buku, itu yang menyebabkan saya diperlakukan begitu,” jelasnya ketika ditemui pada sidang media pengumuman Thong Bowl yang mencatatkan rekod dalam ASEAN Book of Records selepas mendapat pensijilan halal, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai isu buli, Syed Saddiq menegaskan bahawa gejala tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana mampu menjejaskan masa depan generasi muda.
“Saya tidak menceritakan kisah ini kerana mahu berdendam, sebaliknya untuk memastikan tiada lagi generasi baharu menjadi mangsa buli di sekolah. Sekolah seharusnya menjadi institusi yang selamat untuk anak-anak kita,” katanya.
Beliau menambah, pendidikan perlu menjadi wadah untuk mengubah nasib masyarakat, sekali gus melahirkan generasi yang berjaya.
“Saya mahu anak-anak kita mendapat pendidikan terbaik, keluar daripada kepompong kemiskinan dan berjaya dalam kehidupan mereka,” ujarnya.
Sebelum ini, Syed Saddiq antara individu yang lantang bersuara di media sosial mengenai isu buli, sekali gus menyeru agar pihak berwajib memperkukuh langkah pencegahan dan perlindungan terhadap murid serta pelajar di seluruh negara.
Sumber: HibGlam