Foto sekadar hiasan
Kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bahawa “sesiapa yang memiliki telefon bimbit pada dasarnya membawa Israel dalam genggaman tangan mereka” mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat antarabangsa.
Advertisement
Ucapan itu disampaikan beliau ketika bertemu delegasi Kongres Amerika Syarikat di Baitulmaqdis Barat baru-baru ini. Netanyahu turut memuji keupayaan negaranya menghasilkan peranti, ubat-ubatan, senjata dan makanan, sekali gus menonjolkan dominasi Israel dalam ekosistem teknologi global.
Namun, kenyataan tersebut menimbulkan kebimbangan besar terhadap tahap kawalan Israel dalam teknologi moden, khususnya berkaitan privasi dan keselamatan data. Hakikat bahawa banyak telefon pintar masa kini mengandungi unsur inovasi dari Israel mencetuskan persoalan sama ada negara itu berpotensi menguasai aliran maklumat pengguna di seluruh dunia.
Risiko Keselamatan Digital
Menurut pakar teknologi, Dr Mohd Azlishah Othman, kenyataan Netanyahu lebih bersifat simbolik, merujuk kepada pengaruh besar inovasi Israel yang tertanam dalam teknologi seharian. Bagaimanapun, beliau tidak menafikan risiko wujudnya ancaman keselamatan digital global.
Israel kini dikenali sebagai antara peneraju dalam keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI) serta pembangunan aplikasi mudah alih. Jika kelebihan strategik ini disalahgunakan, ia boleh membuka ruang pengintipan, manipulasi data sensitif serta pencerobohan privasi berjuta-juta pengguna.
Instrumen Kuasa Baharu
Pemerhati antarabangsa menilai kenyataan Netanyahu bukan sahaja mencerminkan keangkuhan politik, tetapi juga sebagai isyarat bahawa teknologi kini berfungsi sebagai instrumen kuasa dalam hubungan antarabangsa.
Sehubungan itu, masyarakat antarabangsa digesa lebih kritis terhadap dominasi teknologi Israel. Kesedaran keselamatan digital perlu diperkukuh, di samping usaha kerajaan melindungi data rakyat melalui undang-undang yang lebih tegas dan infrastruktur siber yang lebih kukuh.
Sumber: Sinar Harian