
Foto: Astro AWANI
Advertisement
Pasukan tentera laut Israel dilaporkan telah memintas secara tidak sah serta menaiki kapal Dir Yassine (Mali) bersama beberapa lagi bot dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) ketika berada di perairan antarabangsa.
Insiden itu sekali lagi mencetuskan kecaman apabila penganjur menegaskan bahawa tindakan Israel jelas melanggar undang-undang antarabangsa kerana flotila tersebut membawa misi bantuan kemanusiaan ke Gaza dan tidak bersenjata.
Menurut kenyataan GSF, beberapa kapal lain termasuk Huga, Alma, Sirius dan Grande Blu juga dipercayai telah disekat, dengan komunikasi daripada peserta di atas kapal terputus selepas serbuan berlaku. Pihak penganjur turut memaklumkan bahawa aktivis yang ditahan berasal daripada puluhan negara, termasuk Malaysia, Turkiye, Sweden dan Brazil.
Flotila kali ini melibatkan lebih 50 kapal dan lebih 500 aktivis dari 44 negara, menjadikannya antara misi maritim kemanusiaan terbesar dalam dekad ini. Antara tokoh terkenal yang turut serta ialah aktivis alam sekitar Greta Thunberg dan Ahli Parlimen Afrika Selatan, Mandla Mandela.
🚨 SOUND THE ALARM – INTERCEPTION 🚨
— Global Sumud Flotilla (@gbsumudflotilla) October 2, 2025
BREAKING: On Oct 1, 2025
Israeli naval forces illegally intercepted and boarded the Global Sumud Flotilla’s vessel Dir Yassine (Mali) along with other boats in international waters.
Live-streams and communications ha… https://t.co/dzmRcUJ6DN
Sementara itu, beberapa kapal lain dilaporkan berjaya mengelak daripada dipintas dan kini sedang menghampiri pesisir Gaza dengan membawa bantuan makanan, ubat-ubatan serta mesej solidariti buat rakyat Palestin. Keberanian mereka dianggap sebagai simbol penting menentang sekatan laut Israel yang telah berkuat kuasa hampir dua dekad.
Komuniti antarabangsa memandang serius perkembangan ini, dengan beberapa negara termasuk Colombia, Venezuela, Turkiye dan Malaysia mengutuk keras tindakan Israel serta menuntut pembebasan segera semua aktivis yang ditahan. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan dan kerajaan tidak akan berdiam diri terhadap pencabulan tersebut.
Dalam pada itu, penganjur GSF menegaskan misi mereka tetap sah dari sudut undang-undang antarabangsa, malah ia mencerminkan suara masyarakat dunia yang mahukan sekatan zalim terhadap Gaza dihentikan. Mereka menuntut agar Israel dipertanggungjawabkan atas tindakan ini serta menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil langkah segera untuk melindungi aktivis yang ditahan.
Sumber: X