
Arena bola sepak negara sekali lagi digemparkan dengan keputusan tegas daripada Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila Harimau Malaya dihukum kalah teknikal 3-0 dalam tiga Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang berlangsung sepanjang 2025.
Advertisement
Hukuman itu melibatkan aksi persahabatan menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin, selepas FIFA mendapati Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025) kerana menurunkan pemain yang tidak layak.
Menurut kenyataan rasmi FAM, keputusan itu dibuat hasil mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang bersidang pada 12 Disember 2025 dan dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusinya, Jorge Palacio.
Tiga perlawanan yang terlibat ialah:
- Malaysia vs Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei 2025 – berakhir seri 1-1.
- Malaysia vs Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 4 September 2025 – Malaysia menang 2-1.
- Malaysia vs Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 8 September 2025 – Malaysia menang 1-0.
Namun, kesemua keputusan tersebut kini dipadamkan daripada rekod apabila Malaysia diisytiharkan kalah 3-0 bagi setiap perlawanan.

Kes ini turut membabitkan tujuh pemain warisan negara iaitu Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Facundo Garces, Jon Irazabal, Gabriel Palmero dan Hector Hevel. Penurunan pemain-pemain inilah yang menjadi punca utama pelanggaran peraturan FIFA.
Selain hukuman kekalahan teknikal, FAM turut dikenakan denda sebanyak CHF10,000 (sekitar RM51,414).
Dalam kenyataan sama, FAM memaklumkan akan mengemukakan permohonan bertulis kepada FIFA bagi mendapatkan alasan terperinci di sebalik keputusan tersebut sebelum mempertimbangkan tindakan lanjut.
“FAM akan membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib FIFA sebelum mempertimbang langkah seterusnya yang akan diambil,” jelas kenyataan itu.
Lebih memburukkan keadaan, perkembangan terbaharu ini hadir selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA sebelum ini menolak rayuan FAM berkaitan dakwaan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berhubung pemalsuan dokumen.
Menerusi laporan setebal 64 muka surat, FIFA mengekalkan hukuman denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain terbabit didenda CHF2,000 (sekitar RM10,560) serta digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.
Keputusan ini nyata memberi tamparan hebat kepada usaha membina semula kekuatan Harimau Malaya di pentas antarabangsa. Bukan sahaja imej bola sepak negara tercalar, malah perancangan jangka panjang pasukan kebangsaan turut terjejas.
Kini, seluruh peminat bola sepak tanah air menanti langkah seterusnya FAM sama ada mencari keadilan melalui saluran perundangan FIFA atau melakukan rombakan menyeluruh bagi memastikan kesilapan sama tidak berulang.
Apa jua keputusannya, episod ini menjadi pengajaran besar bahawa pematuhan peraturan antarabangsa bukan pilihan, tetapi keutamaan mutlak demi maruah bola sepak negara.