
Foto: Bernama Radio
Advertisement
Ramai daripada kita selalu fikir, bila penat atau stres, jawapannya cuma satu iaitu tidur. Hakikatnya, rehat itu jauh lebih luas dan ‘berwarna-warni’ daripada sekadar baring atas katil. Terdapat tujuh jenis rehat yang sebenarnya tubuh dan minda kita perlukan untuk betul-betul rasa segar dan bertenaga semula.
Pertama sekali, kita ada rehat fizikal. Memang tidur cukup tujuh hingga sembilan jam itu penting, tapi ada juga rehat aktif seperti regangan, yoga atau urutan ringan yang mampu membantu otot kita pulih dan tenaga kembali terkumpul. Kadang kala badan bukan sekadar perlukan tidur, tetapi juga perlukan pergerakan lembut untuk rasa lebih lega.
Kemudian, ada rehat mental yang jarang orang titikberatkan. Bila fikiran mula kabur, susah fokus atau cepat marah, tandanya otak kita dah penat. Caranya? Cuba duduk diam sekejap sambil buat latihan pernafasan, meditasi atau berjalan santai di taman. Bahkan, bagi yang Muslim, dengar azan atau zikir sambil duduk tenang juga sudah cukup beri ketenangan mental yang luar biasa.

Foto Hiasan
Rehat emosi pula penting bila kita rasa terbeban, terluka atau kecewa. Kadang-kadang kita simpan terlalu banyak dalam hati. Luahkan pada seseorang yang dipercayai, tulis dalam jurnal, atau sekadar menangis untuk lepaskan segalanya. Yang penting, jangan biar hati terus menyimpan, sebab lama-lama ia boleh jadi beban yang sangat berat.
Selain itu, ada juga rehat rohani. Jiwa manusia perlukan makanan yang tak nampak di mata. Mendekatkan diri kepada Tuhan melalui doa, solat dan ibadah boleh bantu kita rasa lebih bermakna dan kurang tertekan. Sertai aktiviti amal atau komuniti keagamaan juga boleh jadi cara untuk rasa lebih ‘hidup’.

Foto Hiasan
Jangan lupa juga tentang rehat sosial. Tak semua masa kita perlu dikelilingi orang ramai. Pilih dengan bijak siapa yang kita habiskan masa bersama dan belajarlah nikmati masa bersendirian tanpa rasa bersalah. Masa berkualiti dengan orang positif atau keluarga tercinta pun boleh jadi sumber tenaga yang besar.
Dalam dunia penuh skrin dan notifikasi ini, rehat deria sangat penting. Kadang-kadang kita perlu sengaja ‘mute’ aktiviti dunia, tinggalkan telefon dan jauhkan diri dari bunyi digital. Inilah masa paling terbaik untuk habiskan masa dengan alam semula jadi. Bunyi burung, angin dan air sungai kadang lebih menenangkan daripada apa-apa pun.

Foto Hiasan
Akhir sekali, bila otak rasa ‘jem’, kita perlukan rehat kreatif. Cuba melukis, mendengar muzik, menari, menonton teater, bercuti, atau sekadar ubah rutin harian. Aktiviti ini bukan saja buat kita seronok, tetapi juga membuka ruang idea-idea baru untuk mengalir.
Sebenarnya, tidur hanyalah satu jenis rehat fizikal. Untuk betul-betul rasa segar, kita kena berikan juga rehat mental, emosi, rohani, sosial, deria dan kreatif. Kita selalu terlupa bahawa untuk kembali kuat, kita tidak perlu untuk bekerja dengan lebih keras, tetapi kita perlukan rehat dan ketenangan.
Sumber: Bernama Radio