Skip to main content

Advertisement

Hiburan

UiTM Cipta Sejarah, Lancar Nanosatelit Kedua UiTMSAT-2 ke Angkasa

uitm cipta sejarah, lancar nanosatelit kedua uitmsat-2 ke angkasaFoto: UiTM

Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus mengukir sejarah apabila berjaya melancarkan nanosatelit keduanya, UiTMSAT-2, ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menerusi misi HTV-X1 yang menggunakan roket H3 F7 dari Pusat Angkasa Lepas Tanegashima, Jepun, tepat jam 8 pagi waktu Malaysia (9 pagi waktu Jepun), semalam.

Advertisement

Pelancaran bersejarah itu, yang disiarkan secara langsung oleh Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA), menandakan satu langkah besar bukan sahaja buat Malaysia, tetapi juga rantau ASEAN. UiTM mengetuai misi satelit serantau pertama di bawah inisiatif ASEANSAT, sekali gus memperkukuh kedudukan universiti itu sebagai peneraju teknologi angkasa Asia Tenggara.

Menurut kenyataan UiTM, kenderaan HTV-X1 dijangka berlabuh di ISS dalam tempoh 48 hingga 72 jam sebelum UiTMSAT-2 ditempatkan di orbit rendah bumi pada suku pertama tahun 2026.

UiTMSAT-2 menjadi nanosatelit pertama di ASEAN yang direka, dibangunkan dan diterajui sepenuhnya oleh sebuah universiti, menandakan kematangan UiTM dalam bidang kejuruteraan dan sains angkasa.

“Jika UiTMSAT-1 pada tahun 2018 membawa Malaysia ke peta dunia dalam penyelidikan nanosatelit, UiTMSAT-2 pula membuktikan UiTM kini mampu memimpin projek antarabangsa dan menjadi rujukan serantau,” jelas kenyataan itu.

Misi ini merupakan kemuncak kepada program ASEANSAT, hasil kolaborasi UiTM bersama University of Perpetual Help System DALTA (Filipina) dan King Mongkut’s University of Technology North Bangkok (Thailand) dengan bimbingan teknikal berterusan daripada Kyushu Institute of Technology (Kyutech), Jepun.

Penasihat utama projek, Profesor Dr Mohamad Huzaimy Jusoh, berkata UiTM kini telah mencapai kematangan penuh dalam reka bentuk dan integrasi sistem satelit, seiring dengan aspirasi universiti untuk menjadi peneraju teknologi angkasa ASEAN menjelang 2030.

Ketua projek, Dr Fatimah Zaharah Ali, pula menyifatkan pelancaran UiTMSAT-2 bukan sekadar kejayaan teknologi, tetapi simbol kemampuan UiTM melahirkan penyelidik muda berkaliber antarabangsa hasil pelaburan strategik jangka panjang.

Beliau menjelaskan, projek ini dibiayai menerusi Dana Kolaborasi Antarabangsa (ICF) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berjumlah RM500,000, dengan tambahan RM20,000 daripada Dana Penyelidikan Strategik (SRP) UiTM. Rakan serantau turut menyumbang, termasuk Filipina dengan dana USD40,000 dan Thailand melalui bantuan peralatan serta kepakaran teknikal.

Kerjasama strategik dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) turut memperkukuh misi ini dari segi pengesahan teknikal, nasihat dasar dan pematuhan piawaian antarabangsa.

UiTMSAT-2 ialah satelit CubeSat 1U bersaiz 10×10×11.35 sentimeter dengan berat 1.1 kilogram. Ia dilengkapi kamera beresolusi tinggi serta sistem Internet benda (IoT) berasaskan komunikasi satelit.

Antara objektif utama misi ini termasuk pemerhatian bumi, aplikasi IoT untuk pertanian pintar dan pengurusan bencana, serta sistem “store and forward” bagi penghantaran data dari kawasan terpencil, menjadikannya platform penting untuk melatih pelajar dan penyelidik ASEAN dalam teknologi hiliran angkasa.

Selepas berlabuh di ISS, UiTMSAT-2 dijadual dilancarkan dari Japanese Experiment Module (JEM) menggunakan JEM Small Satellite Orbital Deployer (J-SSOD) pada suku pertama 2026. Proses pelepasan itu juga akan disiarkan secara langsung oleh JAXA, meletakkan UiTM dalam senarai elit lebih 100 nanosatelit antarabangsa yang pernah dikeluarkan melalui program tersebut.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, mengucapkan penghargaan kepada seluruh pasukan penyelidik dan pelajar UiTM yang terbabit, sambil menyifatkan pencapaian ini sebagai simbol kekuatan UiTM dalam melahirkan bakat global dan memacu penyelidikan berimpak tinggi.

“UiTMSAT-2 membuktikan bahawa universiti tempatan mampu berdiri sebaris dengan institusi antarabangsa dalam menerajui teknologi masa depan,” katanya.

Sumber: Astro AWANI

ERA Muzik Hit Terkini