Foto: Suara Merdeka
Kanak-kanak yang ingin memasuki Tahun Satu pada usia enam tahun hanya akan dipilih selepas melepasi ujian saringan diagnostik khas yang bakal diperkenalkan bermula sesi persekolahan 2027.
Advertisement
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, memaklumkan mekanisme tersebut bertujuan memastikan hanya murid yang benar-benar bersedia dipilih untuk mengikuti pembelajaran di Tahun Satu lebih awal berbanding usia kebiasaan.
Beliau berkata, ibu bapa yang berminat perlu mendaftarkan anak masing-masing bagi menduduki ujian berkenaan yang dijangka dilaksanakan tahun ini, dengan maklumat lanjut akan diumumkan kelak oleh Kementerian Pendidikan.
Menurut Fadhlina, pelaksanaan kemasukan awal itu bukan satu keperluan mandatori, sebaliknya disediakan sebagai pilihan kepada ibu bapa, manakala sistem sedia ada yang membolehkan kanak-kanak masuk Tahun Satu pada usia tujuh tahun kekal diteruskan.
“Ibu bapa tidak perlu cemas. Ini adalah satu penambahbaikan dalam sistem pendidikan dan bukannya sesuatu yang asing kerana telah lama diamalkan di beberapa negara lain,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa walaupun bersifat pilihan, kemasukan awal tidak dibuat secara bebas tanpa penilaian menyeluruh terhadap tahap kesediaan kanak-kanak.
“Kita tidak menyerahkan keputusan sepenuhnya kepada ibu bapa tanpa sokongan. Ujian diagnostik ini diwujudkan untuk menilai kesediaan anak, termasuk aspek psikoemosi dan kemahiran asas,” katanya.
Fadhlina berkata, ujian berkenaan berperanan menentukan sama ada kanak-kanak mampu mengikuti persekitaran pembelajaran di Tahun Satu dengan baik.
“Penilaian ini penting untuk memastikan anak-anak benar-benar bersedia berada dalam kelas Tahun Satu dari pelbagai sudut,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program PAKAT Prasekolah di Jabatan Pendidikan Kedah, yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan negeri, Abdul Rahim Mat.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata beberapa kriteria khusus akan ditetapkan berdasarkan keputusan ujian diagnostik, dan hanya kanak-kanak yang mencapai tahap minimum ditetapkan akan dipilih.
“Kita akan maklumkan tarikh, lokasi dan kaedah ujian itu. Ia perlu dilalui oleh kanak-kanak yang ingin memasuki Tahun Satu pada usia enam tahun,” katanya.
Beliau menambah, ibu bapa yang tidak bersetuju dengan kemasukan awal masih boleh memilih laluan biasa tanpa sebarang paksaan.
“Oleh sebab itu, dasar ini tidak diwajibkan dan dilaksanakan secara berperingkat dengan sokongan diagnostik,” katanya.
Sumber: Berita Harian