Foto: Facebook
Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) bersama Universiti Malaya (UM) mencatat pencapaian tertinggi dalam kalangan institusi pengajian tinggi tempatan apabila kedua-duanya berada pada kedudukan teratas Malaysia dalam Times Higher Education University Ranking 2026.
Advertisement
Mengikut penarafan terkini itu, UTP dan UM disenaraikan dalam kelompok 201 hingga 250 dunia, menjadikan mereka universiti Malaysia dengan kedudukan paling baik dalam edisi penilaian kali ini.
Kedudukan seterusnya menyaksikan Sunway University dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tersenarai dalam julat 301 hingga 350, sekali gus mengekalkan kehadiran Malaysia dalam kelompok pertengahan ranking global.
Bagi kategori 401 hingga 500, tiga universiti awam iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) berada dalam kelompok sama, manakala Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatat kedudukan lebih rendah dalam julat 501 hingga 600.
Selain itu, empat institusi pengajian tinggi tempatan turut berkongsi kedudukan dalam kelompok 601 hingga 800 dunia, terdiri daripada Management and Science University (MSU), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Institusi Asia Catat Lonjakan Merentas Bidang
Times dalam kenyataannya turut menegaskan peningkatan prestasi universiti di Asia, khususnya dalam bidang berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Namun, perkembangan tersebut tidak terhad kepada bidang teknikal semata-mata, malah bidang kesenian dan disiplin lain turut menunjukkan kadar pertumbuhan lebih pantas berbanding institusi di Eropah serta Amerika Utara.
“Buat pertama kali, tiga universiti Asia berjaya menembusi kelompok 20 terbaik dunia bagi bidang sains hayat, dengan National University of Singapore berada di kedudukan ke-19.
“Secara keseluruhan, 17 peratus universiti Asia meningkat dari segi kedudukan dalam sains hayat, 16 peratus dalam sains fizikal dan 19 peratus dalam sains komputer.
“Data tahun 2026 menunjukkan universiti Asia bergerak lebih pantas merentas pelbagai bidang, mengatasi kadar peningkatan institusi di Amerika Utara dan Eropah,” menurut laporan Times.
Sumber: Times Higher Education (THE)