Foto: Detik.com
Penduduk Lakarsantri, Surabaya digemparkan dengan penemuan ngeri melibatkan kematian seorang wanita dikenali sebagai TAS, 25, yang dipercayai dibunuh secara kejam oleh pasangannya.
Advertisement
Menurut laporan Detik.com, suspek, Alvi Maulana, 24, bertindak mengelar leher mangsa selepas pertengkaran di rumah sewa mereka pada 31 Ogos lalu sebelum memotong-motong tubuh mangsa.
Lebih mengejutkan, cebisan tubuh mangsa termasuk tapak kaki, tangan, organ dalaman, kulit kepala serta rambut yang dipisahkan daripada tulang ditemui berselerakan di kawasan semak. Difahamkan, sebanyak 65 potongan daging telah dibuang oleh suspek.
Perbuatan itu terbongkar apabila seorang penduduk kampung yang masuk ke dusun untuk mencari rumput menemui cebisan daging dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa.
Polis kemudian menahan suspek dalam tempoh 14 jam selepas laporan dibuat. Hasil siasatan lanjut di rumah sewa dua tingkat yang didiami pasangan itu membawa kepada penemuan lebih mengejutkan, iaitu kira-kira 239 pecahan tulang dan tengkorak mangsa yang disembunyikan di belakang almari serta dibungkus dalam dua plastik hitam.
Difahamkan, suspek dan mangsa telah tinggal bersama sejak beberapa tahun lalu.
Bapa mangsa dalam pada itu merayu agar pihak berkuasa menjatuhkan hukuman berat terhadap suspek atas kekejaman yang dilakukan.
Kes berkenaan kini masih dalam siasatan pihak polis Indonesia.
Sumber: Detik.com