
Foto: YouTube
Rakaman lama usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming menari sewaktu zaman pengajiannya di Amerika Syarikat kembali menjadi tular di media sosial, menarik perhatian ramai netizen yang terhibur melihat aksi lucu dan penuh bertenaga itu.
Advertisement
Video itu mendapat pelbagai reaksi, daripada rasa nostalgia, kagum, hingga jenaka daripada peminat yang teringat zaman muda Khairul Aming.
Fenomena tarian tersebut tidak hanya menjadi bahan hiburan semata-mata, malah turut memberi inspirasi kepada penyanyi dan pelakon, Izzue Islam.
Dalam usaha memeriahkan suasana Hari Raya tahun ini, Izzue memutuskan untuk menyelitkan elemen tarian viral itu dalam video muzik lagu raya terbarunya, Dulu Kini Raya, yang dinyanyikan secara duet bersama penyanyi baharu, DeHaniff.
@izzueislam Kalau dengar lagu ni tiba-tiba rasa nak marah, rasa macam ade benda je yang tak kena, maafkan kami yer 😅 Pergi tengok sekarang dekat YouTube, Official MV Dulu Kini Raya dah release! 🌙✨ #DuluKiniRaya #Raya2026 ♬ original sound - Izzue Islam
“Sebenarnya tiada perancangan, mungkin ada hikmah juga kami keluarkan lagu ini lewat kerana bersamaan dengan tarian viral Khairul Aming.
“Saya macam ‘Eh, kalau kita inject sikit tarian KA dalam MV ni macam okey juga’,” kata Izzue mengenai idea spontan itu.
Menurutnya, tarian Khairul Aming memberikan satu kelainan yang segar untuk video muzik tersebut, sekaligus menarik perhatian generasi muda yang mengikuti trend viral di media sosial.
Enggan terlepas, Izzue menjelaskan bahawa tujuan lagu raya ini bukan untuk bersaing dengan mana-mana penyanyi lain, sebaliknya hanyalah untuk memeriahkan sambutan Raya.
“Tahun ini saya tidak mahu ketinggalan dalam mengeluarkan lagu raya, sebenarnya tahun lepas pun saya ada keluarkan.
“Namun, pada kali ini apabila diberi peluang sekali lagi, saya amat-amat teruja. Namun suka saya ingatkan, saya bukan ingin bersaing. Hanya ingin memeriahkan sahaja,” ujarnya.
Kerjasama bersama DeHaniff pula tercetus selepas mereka kerap mengadakan sesi live di media sosial bersama, di mana Izzue terkesan dengan bakat penyanyi baharu itu.
@izzueislam Orang lain sibuk fikir nak balik kampung naik apa, kami pulak sibuk fikir lagu raya ni nanti korang akan pasang kuat mana? full blast volume please 🤪🔊 Tinggal 1 hari je lagi Music Video “Dulu Kini Raya” nak keluar. Besok kita akan release di Youtube Dehaniff Entertainment. Yang dulu kita kenang, yang kini kita raikan. Besok siap sedia masuk mood raya! 🎶🌙🌠 #DuluKiniRaya #Raya2026 ♬ original sound - Izzue Islam
“Bila saya dengar dia menyanyi di dalam live, saya rasa dia mempunyai suara yang unik dan sekiranya dia masuk dalam industri, mungkin akan lebih meriah.
“So, macam why not kan memandangkan saya pun nak keluarkan lagu raya jadi alang-alang saya berduet dengan dia,” jelasnya lagi.
Lagu Dulu Kini Raya ditulis dan dikompos oleh Firdaus Rahmat dan John Jeeves, yang masing-masing bertindak sebagai komposer dan penulis lirik.
Gabungan suara Izzue Islam, DeHaniff, dan elemen tarian viral Khairul Aming menjadikan lagu ini satu kombinasi unik yang mampu menarik perhatian pelbagai lapisan peminat, terutamanya golongan muda yang gemar mengikuti trend viral di media sosial.
Lebih menarik, video muzik tersebut turut disusun dengan visual yang ceria dan segar, selari dengan semangat Hari Raya, tetapi tetap mengekalkan kelucuan dan kreativiti yang ditonjolkan oleh tarian Khairul Aming.
Netizen dijangka akan memberi perhatian khusus terhadap elemen tarian itu, kerana ia bukan sahaja membawa nostalgia, tetapi juga menjadi titik kelainan berbanding lagu raya lain di pasaran tahun ini.
Dengan pendekatan ini, Izzue Islam berjaya menggabungkan elemen tradisi raya dan trend moden dalam satu karya, sekaligus menambahkan keceriaan sambutan Hari Raya serta membuktikan bahawa fenomena viral boleh dijadikan inspirasi kreatif dalam industri muzik tempatan.