
Foto: Facebook
Penyanyi, Mimi Fly akan membawa nama Malaysia ke ASEAN-Korea Music Festival 2026 yang dijadual berlangsung pada 18 dan 19 April di Araneta Coliseum, Filipina.
Advertisement
Festival yang dikenali sebagai ROUND 2026 itu berfungsi sebagai platform memperkukuh hubungan budaya antara Korea Selatan dan negara-negara ASEAN melalui gabungan persembahan muzik, tarian serta kolaborasi kreatif dalam kalangan artis serantau.
Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham, 39, menyifatkan pemilihan tersebut sebagai satu peluang besar dan pengalaman berharga dalam kerjayanya.
Difahamkan, dia kini giat melakukan persiapan bagi memastikan persembahan yang bakal dipersembahkan berada pada tahap terbaik.
“Saya sangat bangga dapat mewakili Malaysia di festival ini yang merupakan peluang untuk tunjuk bakat kita di pentas serantau dan bawa nama negara ke peringkat antarabangsa.
“Sekarang saya sibuk memperkemas dan mempersiap diri untuk persembahan itu nanti… saya hanya mahu buat yang terbaik,” katanya.
Selain Mimi, festival tersebut turut menampilkan barisan artis dari rantau ASEAN dan Korea Selatan termasuk Pamungkas, Syafiq Abdillah, TJ Monterde serta 10CM.
Dalam persembahan berdurasi kira-kira 25 minit itu, Mimi yang popular dengan lagu seperti Angkat dan Serumpun akan membawakan beberapa buah lagu dengan sokongan 16 penari dari Malaysia dan Filipina bagi menghidupkan lagi persembahan di pentas antarabangsa tersebut.
Sumber: Astro AWANI