Skip to main content

Advertisement

Hiburan

“Kalau Rasa Tak Bersetuju, Kenapa Kita Tak Boleh Diam Je? Kita Tak Rugi Apa-Apa Pun..” - Shiha Zikir

Foto: Instagram

Penyanyi, Shiha Zikir meluahkan rasa sedih apabila melihat penyanyi legenda, Noraniza Idris menjadi sasaran kecaman netizen hanya kerana berkongsi lagu kegemarannya bagi tahun ini.

Advertisement

Menurut Shiha, dia secara peribadi berasa sangat gembira apabila mengetahui penyanyi yang popular dengan etnik irama tradisional itu menggemari salah satu lagunya.

“Personally, Shiha sangat sangat happy, sumpah. Saya dibesarkan dengan lagu-lagu Kak Ani, jadi apabila penyanyi hebat sepertinya menggemari lagu saya, itu sangat membuatkan saya terharu,”katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu raya Memori Raya yang berlangsung di Redbox Karaoke The Gardens, semalam.

Dalam masa sama, Shiha berpandangan bahawa setiap individu mempunyai citarasa dan pendapat yang berbeza, justeru semua orang berhak menyatakan perkara yang mereka sukai.

“Bagi saya, setiap manusia ada pendapat dan selera masing-masing. Jadi, kita bebas untuk beritahu apa apa pun yang kita suka,” ujarnya.

Mengulas mengenai kecaman yang diterima Noraniza Idris, Shiha mengakui berasa sedih apabila membaca komen-komen negatif yang ditinggalkan oleh segelintir netizen di media sosial.

“Saya sedih tau bila saya baca komen komen itu semua. Kenapa korang sanggup untuk letakkan komen macam tu?” katanya.

Tambah penyanyi berusia 39 tahun itu, dia melihat situasi tersebut secara neutral kerana merasakan tiada perkara yang salah dilakukan oleh Noraniza.

“Saya sangat neutral kerana bagi saya tiada apa salah pun di situ. Sebab, dia hanya memberitahu lagu yang disukai bukan mengkritik atau mengutuk mana mana lagu yang lain,” jelasnya.

Malah menurut Shiha, berkongsi lagu kegemaran sebenarnya merupakan perkara biasa yang dilakukan oleh ramai orang termasuk dirinya sendiri.

“Dan kalau fikir balik, kita pun buat benda yang sama kan? Saya pun ada je buat macam tu,” katanya.

Pada masa sama, Shiha memahami bahawa peminat sememangnya mahu mempertahankan artis kesayangan mereka, namun berharap tindakan tersebut dilakukan secara berhemah.

“Saya faham sesetengah peminat sangat menyokong artis-artis kegemaran mereka, tapi saya harap ada batasnya. Kalau rasa tak bersetuju, kenapa kita tak boleh diam je? Kita tak rugi apa apa pun,” katanya.

Menurutnya lagi, sikap peminat yang positif juga memainkan peranan penting dalam membentuk imej seseorang artis di mata masyarakat.

“Saya percaya setiap artis tu memang nakkan peminat yang sangat positif. Bila semuanya positif, orang pun akan pandang artis tu positif je,” ujarnya.

 

 

Dalam perkembangan lain, Shiha meluahkan bahawa dirinya amat teruja apabila lagu raya miliknya, Memori Raya dapat diperdengarkan kepada semua walau hanya dipersiap pada saat-saat akhir.

Sekadar info, lagu yang menampilkan nuansa sambutan raya yang meriah ini ditulis dan dikompos oleh Iqie Hugh dan John Jeeves.

Sebelum ini, Shiha turut mengeluarkan lagu berentak etnik pop tradisional, Minta Ampun beberapa hari sebelum bulan Ramadan.

ERA Muzik Hit Terkini