
Foto: Threads
Sebuah hantaran di Threads menarik perhatian ramai selepas seorang individu yang mendakwa sebagai ejen pernikahan di Thailand menawarkan pakej kahwin dengan pilihan bayaran secara tertangguh atau ‘pay later’.
Advertisement
Perkongsian tersebut kemudian tersebar luas dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.
Dalam hantaran berkenaan, beberapa pilihan pakej disenaraikan mengikut perkhidmatan yang disediakan. Antaranya pakej asas sekitar RM1899, pakej termasuk pengesahan konsulat pada anggaran RM3699, serta pakej lengkap bersama sijil nikah Malaysia di Perlis yang dianggarkan RM9499.
Individu tersebut turut memaklumkan bayaran boleh dibuat menggunakan kaedah BNPL atau buy now pay later.
"Jom kita kahwin Thailand pakai pay later, ya boleh bayar pakai pay later atau apa-apa BNPL (buy now pay later)," tulisnya.

Foto sekadar hiasan
Reaksi dan Kecaman Netizen
Perkongsian itu menerima pelbagai kritikan daripada orang ramai yang berpendapat ia boleh memberi gambaran kurang tepat mengenai perkahwinan, khususnya apabila dikaitkan dengan kaedah pembayaran tertangguh.
Ada juga yang meluahkan kebimbangan terhadap unsur yang dilihat seolah-olah mempromosikan poligami tanpa pengetahuan pihak tertentu, selain menganggap pendekatan tersebut tidak sesuai.
Di ruangan komen, rata-rata pengguna menyuarakan ketidaksetujuan terhadap kandungan tersebut.
"I hope this post can reach Jabatan Agama Islam dekat Malaysia ni. Atau kementerian terbabit. Are you being serious promotekan benda macamni? First you promote BNPL, second you mentioned "isteri pertama takkan tahu dan tak perlu naik mahkamah".
“Taktahu nak tag siapa, do you know anyone yang boleh take action on this? As a woman and a wife, posting ni sangat triggered” tulis seorang pengguna.
Ada yang mempersoalkan kemampuan kewangan individu yang ingin berkahwin sekiranya bergantung kepada hutang, sambil menegaskan bahawa perkahwinan memerlukan persediaan yang kukuh dari segi tanggungjawab dan kewangan.
"Kan islam kata kalau berkemampuan baru boleh lebih 1 isteri, kalau dh smpai nak guna spaylater tu jauh lagi status berkemampuan tu... x layak pun nak beristeri lebih 1,” tulis seorang lagi pengguna.

Foto sekadar hiasan
Pandangan Hukum Berkaitan Mahar
Isu ini turut membuka perbincangan mengenai hukum pembayaran mahar secara hutang. Menurut penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, mahar merupakan pemberian wajib daripada suami kepada isteri selepas akad nikah dan ia dibolehkan sama ada dibayar secara tunai atau ditangguhkan.
Islam tidak menetapkan kadar minimum atau maksimum bagi mahar. Sebaliknya, ia bergantung kepada persetujuan antara kedua-dua pihak.
Apa sahaja yang mempunyai nilai atau manfaat boleh dijadikan mahar, termasuk wang, barangan atau sesuatu yang memberi faedah seperti perkhidmatan tertentu.

Foto sekadar hiasan
Status Akad dan Hak Isteri
Perkahwinan tetap sah walaupun mahar tidak dinyatakan ketika akad berlangsung, namun tanggungjawab untuk menunaikannya tetap wajib selepas itu.
Dalam keadaan tertentu, isteri berhak menangguhkan hubungan suami isteri sekiranya mahar belum diberikan.
Walau bagaimanapun, jika isteri bersetuju untuk menangguhkan bayaran mahar, maka hak tersebut tidak lagi digunakan, dengan syarat tempoh penangguhan dipersetujui bersama.
Secara keseluruhannya, walaupun hutang dibenarkan dalam konteks pembayaran mahar, pelaksanaannya perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab, kefahaman dan persetujuan bersama agar tidak menimbulkan sebarang masalah pada masa akan datang.
Sumber: Threads, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan