Skip to main content

Advertisement

Berita

Kebakaran Dahsyat di Sandakan Hanguskan 1,000 Rumah, Namun Masjid Darus Salam Kekal Berdiri Tanpa ‘Calar’

Foto: Bernama

Satu kebakaran besar yang melanda perkampungan atas air di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah baru-baru ini memusnahkan kira-kira 1,000 buah rumah, namun sebuah masjid di kawasan tersebut dilaporkan kekal selamat tanpa sebarang kerosakan.

Advertisement

Masjid Darus Salam menjadi perhatian ramai apabila masih berdiri teguh walaupun api marak memusnahkan hampir keseluruhan kawasan sekeliling dalam tempoh singkat.

Penduduk yang berada di lokasi kejadian menyaksikan sendiri bagaimana api merebak dengan cepat, membakar deretan rumah yang terletak berhampiran antara satu sama lain.

Apa yang mengejutkan, masjid berkenaan langsung tidak terkesan walaupun jaraknya sangat hampir dengan bangunan lain yang hangus sepenuhnya.

Malah, terdapat dakwaan daripada saksi bahawa api seolah-olah mengubah arah setiap kali menghampiri kawasan masjid tersebut.

Foto: Bernama

Ketua Kampung Bahagia, Sharif Hassim Sharif Titing turut berkongsi pengalamannya pada hari kejadian di kawasan berkenaan.

“Saya sendiri nampak api mengelilingi masjid, rumah di sekeliling semua terbakar, tetapi masjid ini tidak terjejas langsung.

“Api seolah-olah menolak keluar apabila menghampiri masjid. Kami semua yang berada di situ memang hairan, namun bersyukur kerana rumah ibadah ini masih berdiri teguh,” katanya.

Dalam keadaan genting itu, laungan azan turut dilaungkan dari masjid berkenaan ketika kebakaran masih belum reda.

Azan tersebut dikatakan berkumandang selama kira-kira 15 minit sebagai doa dan harapan agar keadaan kembali terkawal, sekali gus menyentuh emosi penduduk yang menyaksikan detik tersebut.

Rakaman dron yang tersebar di media sosial memperlihatkan kontras jelas apabila kawasan sekitar dipenuhi kesan kebakaran, sementara masjid itu kekal utuh tanpa kerosakan ketara.

Peristiwa ini bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa, malah turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai yang melihatnya sebagai satu kejadian luar biasa dan penuh pengajaran.

Sumber: Bernama

ERA Muzik Hit Terkini