Foto: Harian Metro
Advertisement
Pada usia 71 tahun, Zakaria Abdul Wahab yang lebih dikenali sebagai Atok Grab masih kuat menunggang motosikal dan menghantar makanan demi memastikan keluarganya terus terbela.
Bagi warga emas itu, tiada istilah malu untuk melakukan pekerjaan yang halal selagi masih mempunyai kudrat dan kemampuan untuk mencari rezeki.
“Malu jangan fikir, kerja yang baik kita buat saja,” katanya ketika ditemui media.
Zakaria mula menyertai platform Grab pada tahun 2021 ketika pandemik COVID-19 dan sehingga kini masih aktif bekerja sebagai penghantar makanan.
Menurutnya, pekerjaan itu dipilih kerana lebih mudah dan fleksibel selain tidak terlalu membebankan golongan berusia seperti dirinya.
“Sistem Grab ini mudah, tak kira muda atau macam saya yang dah berusia sebab hanya ambil tempahan dan hantar,” katanya.
Di sebalik usianya yang semakin lanjut, Zakaria masih memikul tanggungjawab besar untuk menyara keluarga termasuk membantu anak sulungnya yang mengalami strok sejak sembilan bulan lalu.
Katanya, sebelum ini anaknya banyak membantu mencari pendapatan sebagai pemandu e-hailing, namun keadaan kesihatan yang dialami menyebabkan dia perlu bekerja lebih keras demi menampung keperluan keluarga.

Foto: Harian Metro
“Kalau duduk rumah saja memang tak boleh sebab saya masih ada isteri dan anak yang perlu ditanggung,” ujarnya.
Tambah Zakaria, dia kini turut mengumpul wang tambahan bagi membiayai rawatan anak sulungnya agar kembali sihat seperti dahulu.
Sepanjang bergelar penghantar makanan, Zakaria juga pernah melalui detik mencemaskan apabila terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori beberapa tahun lalu.
“Motosikal rosak teruk, tapi syukur saya masih selamat,” katanya.
Walaupun pernah diuji dengan kemalangan, pengalaman itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencari rezeki di jalanan.
Menurut Zakaria, pendapatannya bergantung kepada jumlah tempahan serta keadaan cuaca semasa.
Katanya, dia mampu menyiapkan sekitar 20 tempahan sehari dan pendapatannya boleh mencecah lebih RM100 termasuk tip pelanggan jika cuaca mengizinkan.
Namun disebabkan faktor usia, dia mengakui tidak lagi mampu bekerja terlalu lama seperti dahulu dan kini lebih menjaga tahap kesihatan diri.

Foto: Harian Metro
Bagi Zakaria, tip yang diterima daripada pelanggan hanyalah rezeki tambahan dan dia tidak pernah mengharapkan pemberian tersebut.
Selain memastikan dirinya terus aktif, Zakaria turut menitipkan nasihat kepada golongan muda supaya tidak terlalu memilih pekerjaan.
“Kerja ini ikut minat, tapi jangan duduk saja tanpa buat apa-apa,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Zakaria berharap bantuan kepada warga emas yang masih bekerja dapat dipermudahkan terutama melibatkan syarat permohonan.
Katanya, golongan sepertinya masih perlu bekerja demi meneruskan kehidupan walaupun usia sudah semakin lanjut.
Terdahulu, kisah Atok Grab menjadi perhatian ramai selepas videonya yang masih gigih bekerja sebagai penghantar makanan pada usia emas tular di media sosial dan meraih pujian masyarakat.
Sumber: Harian Metro