
Gambar Hiasan
Istilah housewife atau suri rumah kini diberi nafas baharu di Dubai apabila pihak berkuasa memperkenalkan gelaran “Generation Shaper” atau “Pembentuk Generasi” bagi mengiktiraf peranan ibu dalam membentuk keluarga dan generasi masa depan.
Advertisement
Arahan tersebut diumumkan Putera Mahkota Dubai, Sheikh Hamdan bin Mohammed bin Rashid Al Maktoum, sempena sambutan Hari Ibu pada 21 Mac 2026. Beliau mengarahkan Community Development Authority (CDA) untuk menggunakan istilah “Generation Shaper” menggantikan “housewife”.

Menurut Sheikh Hamdan, ibu merupakan “sekolah pertama” kepada anak-anak, khususnya dalam membentuk nilai seperti rasa kekitaan, tanggungjawab dan identiti yang menjadi asas kepada pembentukan masyarakat.
Ia turut mencerminkan mesej utama di sebalik perubahan istilah berkenaan bahawa peranan seorang ibu tidak sekadar tertumpu kepada urusan rumah tangga, sebaliknya turut melibatkan tanggungjawab besar dalam membentuk perkembangan dan nilai generasi akan datang.
Perubahan gelaran itu juga dilihat sebagai usaha untuk mengubah cara masyarakat melihat peranan ibu yang memilih untuk memberi tumpuan kepada keluarga. Istilah housewife secara asasnya menggambarkan kedudukan seseorang dalam konteks rumah tangga, manakala “Generation Shaper” memberi penekanan kepada sumbangan dan peranan mereka dalam membentuk manusia serta masyarakat.

Laporan media tempatan turut mengaitkan pendekatan itu dengan agenda pembangunan sosial Dubai yang memberi perhatian kepada kestabilan keluarga dan pembangunan masyarakat.
Bagaimanapun, perubahan istilah tersebut bukan sekadar soal nama atau panggilan. Ia membawa mesej bahawa kerja penjagaan, pendidikan awal dan pembentukan nilai dalam keluarga turut mempunyai peranan penting dalam pembangunan sesebuah masyarakat.
Dalam kenyataannya, Sheikh Hamdan turut menyampaikan penghargaan kepada para ibu dan menyifatkan mereka sebagai asas kepada segala kebaikan.
Perubahan daripada “Housewife” kepada “Generation Shaper” itu sekali gus membuka perspektif baharu terhadap peranan seorang ibu bahawa mereka bukan hanya sebagai pengurus rumah tangga, tetapi sebagai individu yang mempunyai pengaruh besar dalam membentuk generasi masa hadapan.