Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Ingin Saingi Festival Coachella, Empat Agensi Terbesar K-Pop Rancang Festival Mega Global Tahun Hadapan

Foto sekadar hiasan

Empat syarikat hiburan utama Korea Selatan iaitu Hybe, JYP Entertainment, SM Entertainment dan YG Entertainment kini dilaporkan sedang dalam perbincangan untuk membentuk satu usaha sama bagi menganjurkan festival muzik berskala besar yang berpotensi menjadi pesaing kepada acara global seperti Coachella.

Advertisement

Menurut laporan media tempatan pada 16 April, keempat-empat agensi tersebut telah menghantar laporan penggabungan perniagaan kepada Suruhanjaya Perdagangan Adil (FTC) sebagai sebahagian daripada proses awal penubuhan syarikat baharu yang akan memberi fokus kepada perancangan konsert dan festival muzik.

Langkah tersebut diperlukan kerana Hybe diklasifikasikan sebagai konglomerat besar dengan aset melebihi 5 trilion won (sekitar S$4.3 bilion), manakala SM Entertainment pula berada di bawah kumpulan Kakao.

Dalam masa sama, Jawatankuasa Presiden bagi Pertukaran Budaya Popular turut memaklumkan bahawa perbincangan sedang dijalankan untuk membentuk model kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memperluaskan pengaruh global K-Culture.

“Di sektor swasta, empat syarikat di bawah jawatankuasa muzik sedang bersiap sedia untuk menubuhkan sebuah entiti bagi mempromosikan acara ‘Fanomenon’,” kata JYP Entertainment dalam satu kenyataan.

“Usaha sama ini sedang dipertimbangkan sebagai model kolaborasi untuk meneroka pengembangan global K-culture termasuk K-pop,” jelas syarikat itu lagi.

Bagaimanapun, perancangan tersebut masih di peringkat awal dan struktur kerjasama di peringkat industri masih sedang diperhalusi oleh semua pihak terlibat.

Proses kelulusan termasuk daripada FTC juga sedang berjalan sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

Difahamkan, usaha sama itu akan melibatkan pelaburan sama rata daripada keempat-empat syarikat, namun struktur kepimpinan serta tadbir urus masih belum dimuktamadkan.

Festival berkenaan dijangka memberi tumpuan kepada penganjuran konsert besar-besaran dengan sasaran penganjuran pertama di Korea Selatan pada tahun 2027, melibatkan artis daripada semua agensi terlibat.

Idea “Fanomenon” pertama kali diperkenalkan ketika majlis pelancaran jawatankuasa presiden pada Oktober lalu oleh pengasas JYP Entertainment, J.Y. Park, yang mencetuskan konsep gabungan perkataan “fan” dan “phenomenon”.

Beliau bagaimanpun sebelum ini ada memaklumkan bahawa festival tersebut dijangka berlangsung di Korea pada Disember 2027 selepas dua tahun persiapan, sebelum diperluaskan ke beberapa bandar utama dunia bermula Mei 2028.

Sumber: The Straits Times

ERA Muzik Hit Terkini