
Gambar: BERNAMA
Sorakan lebih 3,000 penyokong di Stadium Titiwangsa menjadi saksi kebangkitan luar biasa skuad sepak takraw negara apabila Malaysia muncul juara acara kuadran Piala Dunia Sepak Takraw 2026 selepas menewaskan India 2-0 pada aksi final penuh mendebarkan malam tadi.
Advertisement
Kejayaan bersejarah itu menyaksikan Malaysia menjulang trofi sulung acara kuadran sekali gus mengukuhkan status negara sebagai antara kuasa besar dunia dalam sukan tradisional berprestij itu.
Skuad kendalian Ahmad Jais Baharun yang dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi bermula agak goyah apabila India mendahului 4-0 hasil beberapa kesilapan awal termasuk servis yang kurang menjadi. Namun, tekanan itu tidak mematahkan semangat pasukan negara yang pantas bangkit untuk mengikat kedudukan 5-5.
Aksi semakin panas apabila kedua-dua pasukan saling berbalas rejaman dan bertahan dengan cukup disiplin. India tampil agresif menerusi serangan pantas, namun Malaysia kekal tenang sebelum menamatkan set pertama dengan kemenangan tipis 17-15.
Momentum kemenangan itu diteruskan dalam set kedua apabila skuad negara tampil lebih yakin dan tersusun. Malaysia berjaya mendahului 10-7 sekali gus memberi tekanan besar kepada pasukan India yang dibarisi Ram Kumar Sharma, Yunam Akash, Bobby Kumar dan Sorokhaibam Malemnganba Singh.

Sorakan penyokong yang memenuhi gelanggang keramat ‘Home of Sepak Takraw’ nyata menjadi pembakar semangat apabila Malaysia akhirnya menamatkan set kedua 15-10 untuk mengesahkan kejuaraan dunia acara kuadran milik negara.
Kapten pasukan, Amirul Zazwan mengakui perjalanan Malaysia dalam kejohanan kali ini bukan mudah apabila mereka berdepan tekanan besar sejak peringkat kumpulan lagi.
Menurutnya, tahap persaingan tahun ini jauh lebih mencabar berbanding Piala Asia sebelum ini, terutama ketika bertemu India pada aksi final.
“Saingan kali ini memang lebih kuat dan sangat mencabar. Kami bergelut sejak awal kejohanan lagi termasuk ketika bertemu Singapura. Tapi kami percaya mampu beri yang terbaik dalam final ini,” katanya selepas perlawanan.
Beliau turut menegaskan fokus dan kemampuan menyesuaikan diri menerima servis lawan menjadi faktor penting kejayaan skuad negara menundukkan India.
Kejayaan skuad negara turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menzahirkan ucapan tahniah menerusi satu hantaran di media sosial.
“Tahniah kepada pasukan negara atas kejayaan muncul juara acara kuadran Piala Dunia Sepak Takraw selepas menewaskan India 2-0 dalam aksi penuh semangat, disiplin dan gaya juang tinggi.
“Kejayaan ini bukan sekadar mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia, malah membuktikan anak watan memiliki kecekalan, kesatuan tekad dan kemampuan untuk terus bersaing serta mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa.
“Syabas wira negara. Semangat juang yang dipamerkan menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia. Tahniah!” katanya.
Sementara itu, Thailand pula menebus kehampaan pada Piala Asia tahun lalu apabila muncul juara acara regu selepas menewaskan Myanmar 2-1 dalam satu lagi final dramatik.
Thailand memenangi set pertama 15-8 sebelum Myanmar bangkit mencuri set kedua 15-13. Namun pengalaman Thailand jelas menjadi pemisah apabila mereka kembali menguasai permainan dalam set penentuan untuk menang 15-7 dan merangkul gelaran dunia acara regu.