Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Netflix Umum Sambungan Filem Animasi Kpop Demon Hunters

Foto: Netflix

Platform penstriman, Netflix mengesahkan bahawa filem animasi Kpop Demon Hunters akan diteruskan dengan sebuah sekuel selepas kejayaannya mencatat populariti luar biasa di platform tersebut.

Advertisement

Filem berkenaan menampilkan jalan cerita mengenai sekumpulan bintang K-Pop wanita yang sebenarnya berasal daripada keturunan pemburu syaitan. Gabungan elemen muzik K-Pop, aksi serta fantasi menjadikan karya tersebut menonjol dan berjaya menarik perhatian penonton dari seluruh dunia.

Kpop Demon Hunters juga dilihat sebagai salah satu karya dari Korea Selatan yang berjaya menembusi pasaran global dan menerima pengiktirafan meluas.

Menerusi pengumuman yang dikongsikan di platform X, Netflix memaklumkan bahawa Maggie Kang akan kembali bergandingan dengan Chris Appelhans untuk menulis skrip serta mengarahkan sekuel filem itu.

 

 

Kejayaan filem tersebut turut terserlah apabila ia menerima pencalonan dalam dua kategori di Anugerah Akademi yang bakal berlangsung Ahad ini iaitu bagi kategori Filem Animasi Terbaik serta Lagu Asal Terbaik.

Selain itu, lagu Golden yang menjadi antara lagu utama dalam filem berkenaan turut mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi anugerah Lagu Terbaik Ditulis untuk Media Visual di Anugerah Grammy. Kemenangan itu sekali gus menjadikan Golden sebagai lagu K-Pop pertama yang berjaya meraih trofi dalam kategori tersebut.

Pengarah dan penulis kelahiran Korea-Kanada, Maggie Kang sebelum ini pernah menyatakan bahawa penghasilan filem itu bertujuan menampilkan budaya Korea dengan lebih tulen dan dekat dengan identitinya.

“Saya berasa amat bangga sebagai pembikin filem Korea apabila penonton mahukan lebih banyak kisah Korea dan watak-watak Korea,” katanya.

Filem yang mula ditayangkan pada Jun tahun lalu itu turut mengikuti jejak kejayaan beberapa karya Korea lain yang mendapat perhatian dunia seperti Parasite, Squid Game dan Pachinko yang berjaya membawa cerita berkaitan masyarakat Korea serta diaspora Korea ke pentas global.

Sumber: X @netflix

ERA Muzik Hit Terkini