
Foto: Tangkap layar Instagram
Kemunculan pelakon, Yusuf Bahrin bersama isterinya, penyanyi Zizi Kirana di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada pagi Khamis menimbulkan tanda tanya, dipercayai berkaitan urusan peribadi melibatkan perkahwinan mereka.
Advertisement
Yusuf atau nama penuhnya Muhammad Yusuf Bahrin tiba sekitar jam 8.40 pagi dan memilih untuk tidak mengulas lanjut. Sebaliknya, dia hanya mengharapkan doa orang ramai agar segala urusan berjalan lancar.
“Insya-Allah semuanya baik. Doakan yang baik-baik.
“Saya okay, selamat hari raya,” katanya ringkas.
Tidak lama selepas itu, Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil turut dilihat hadir dengan ditemani Datin Seri Paduka Umie Aida.
Sama seperti Yusuf, Zizi juga mengambil pendekatan untuk tidak berkongsi butiran lanjut mengenai kehadirannya.
“Tiada apa yang boleh saya kongsikan.
“Saya sendiri kurang pasti proses hari ini. Mohon doakan yang baik-baik, insya-Allah,” katanya.
Dalam masa sama, Umie Aida turut mengajak orang ramai supaya menitipkan doa yang baik buat pasangan tersebut.
“Insya-Allah, semoga segala urusan kedua-dua pihak dipermudahkan,” ujarnya.
Terdahulu, hubungan pasangan ini menjadi bualan apabila timbul dakwaan mereka menghadapi masalah rumah tangga selepas masing-masing dilihat menyambut Aidilfitri secara berasingan.
Untuk rekod, Yusuf dan Zizi berkahwin pada September 2021 dan sehingga kini belum dikurniakan zuriat.
Sumber: Gempak