
Foto: Instagram
Legenda rali negara, Karamjit Singh bakal diangkat ke layar perak menerusi filem TERBANG yang diinspirasikan daripada perjalanan hidup serta pencapaiannya dalam sukan permotoran.
Advertisement
Dikenali dengan gelaran ‘Flying Sikh’, Karamjit mencipta sejarah apabila muncul sebagai pelumba Asia pertama menjuarai Kejuaraan Rali Dunia kategori Production Cars (PWRC) pada tahun 2002.
Lebih membanggakan, kejayaan itu hadir seiring dengan kemenangan dalam Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) pada tahun sama, sekali gus meletakkan namanya sebagai antara pelumba terbaik dari rantau ini di pentas dunia.
Kisah keberanian dan ketabahannya mengendalikan jentera rali dalam pelbagai cabaran menjadi teras utama penceritaan filem ini, yang bukan sekadar berkisar tentang perlumbaan, tetapi juga perjalanan emosi dan semangat untuk bangkit.
Pengarahnya, Chiu Keng Guan menjelaskan mesej utama filem tersebut adalah tentang keberanian melangkaui batas diri.
OFFICIAL FIRST LOOK OF TERBANG
Saksikan filem TERBANG yang di arahkan oleh @chiudao yang akan Datang Di Pawagam 2026.#TERBANG #FilemTERBANG #AstroShaw pic.twitter.com/7PXdNjIPzm— Astro Shaw #MalaikatMalam (@AstroShaw) April 6, 2026
“Kita semua mempunyai had, tetapi intipati sebenar filem ini adalah bagaimana kita mencabar had tersebut untuk mencapai sesuatu,” katanya.
Chiu sebelum ini dikenali menerusi karya seperti OlaBola, selain Woohoo, Great Day dan The Journey.
Filem ini menampilkan watak Ajeet yang dilakonkan oleh Irfan Zaini, seorang pelumba yang berdepan trauma selepas kemalangan serius, namun bangkit untuk membuktikan bahawa kegagalan bukan penamat segalanya.
Turut membintangi filem ini ialah Jack Tan, Zizan Razak, Nam Ron dan Diana Danielle.
TERBANG dijangka menemui penonton di pawagam tempatan tahun ini, dengan teaser awal yang menampilkan visual sinematik sudah mula menarik perhatian ramai.