
Foto: Instagram
Setiap kali tiba musim Hari Raya Aidilfitri, ramai anak dara dan anak teruna sering berhadapan dengan soalan tentang jodoh seperti “bila nak kahwin?” atau “ada calon belum?” yang kadang-kadang menimbulkan rasa kurang selesa.
Advertisement
Namun, bagi penyanyi dan pelakon Daiyan Trisha, 33, perkara itu tidak menjadi isu besar.
Daiyan mengakui dia tidak pernah merasakan soalan sedemikian sebagai gangguan. Dia juga berasa bersyukur kerana keluarganya memahami hala tuju kehidupannya pada masa ini.
“Sebenarnya tiada soalan panas pun yang saya dapat dan mereka macam tidak kisah sangat. Selalunya mereka banyak bertanya tentang projek atau kerja saya selepas ini. Tahun lalu banyak tanya tentang lagu Jom Raya. Itu sahaja, alhamdulillah tiada yang panas,” ujarnya kepada media.
Pelakon drama Projek: Anchor SPM itu menambah bahawa dia memahami jika individu lebih tua menanyakan hal peribadi kerana niat mereka adalah prihatin dan mahu mendoakan jodohnya.
“Tapi kalau ada soalan begitu sekali pun, tiada masalah sebab mereka tahu saya tidak fokus ke arah itu lagi. Saya juga faham mak cik-mak cik bukan nak menyibuk, tetapi prihatin tentang hidup kita. Saya akan jawab tiada jodoh lagi dan tunggu saja. Tak perlu mencari sebab jodoh akan hadir bila tiba waktunya, insya-Allah,” jelasnya.
Bagi sambutan Hari Raya sebelum ini, Daiyan atau nama penuhnya Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin, biasanya pulang ke kampung halaman di Kuantan.
Berada di sana selama seminggu, dia mengikuti rutin hari raya seperti orang lain seperti menunaikan solat sunat, bersalaman, menerima tetamu, memberi duit raya dan keluar beraya bersama keluarga.
“Raya di Kuantan memang seronok kerana kampung saya ada dusun dan sungai di belakang rumah. Rutin biasa sahaja. Kalau orang lain sempat tidur pada waktu petang, saya tidak sempat kerana ramai yang datang ke rumah atau kami sekeluarga keluar beraya.
“Selagi ahli keluarga masih ada, raikanlah hari raya sepuas-puasnya kerana momen itu tak akan datang lagi selepas ini,” katanya.
Selain itu, Daiyan turut menyumbang kepada rumah orang tua di Kajang setiap tahun dengan memberikan duit raya antara RM2,000 hingga RM3,000.
“Setiap tahun saya akan pergi beraya di rumah orang tua di Kajang. Itu macam rumah kebajikan ‘angkat’ juga. Duit raya yang saya beri pun satu bentuk sedekah dan saya gembira dapat memberi selagi masih ada rezeki,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.
Sumber: HibGlam